Jenazah Kapten Hasman akan dikebumikan di Masjid Tanah

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin, yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam kejadian banjir di Missouri, Amerika Syarikat, dijangka tiba ke tanah air esok.

Menurut kenyataan daripada Markas Tentera Darat, jenazah dijangka tiba 1.15 petang esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menggunakan pesawat China Airlines.

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Melaka dan diberikan penghormatan terakhir dan disolatkan di Masjid As-Syuhada Kem Terendak, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.

Jenazah Hasman selamat tiba di New York jam 5.30 pagi Ahad lalu selepas diterbangkan menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert-St Louis, Missouri, Sabtu lepas.

Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Dis apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

Rabu lepas, Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia). - Bernama

Share on Myspace