Adun Beserah gesa JAS siasat ikan mati di Sungai Tonggek

BASIRON ABDUL WAHAB | .

Andansura di tepi Sungai Tonggek.

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andansura Rabu meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat punca kematian beribu-ribu ekor ikan di Sungai Tonggek, dekat Beserah bagi mengetahui punca sebenar.

“Saya minta pihak Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar supaya menyiasat segera punca kejadian ribuan ikan mati di Sg Tonggek, Balok,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya segala hasil analisa dan kajian perlulah diumumkan kepada orang ramai dengan telus.

Ini adalah untuk mengelakkan daripada pelbagai spekulasi yang tidak berasas.

Difahamkan sungai itu di hulunya adalah kawasan perindustrian Gebeng serta terdapat juga kawasan penyimpanan bauksit di situ.
 
“Oleh itu, orang ramai perlu tahu punca sebenar, adakah ia berpunca dari sisa buangan toksit dari kilang di Gebeng atau dari sisa simpanam bauksit atau mungkin juga akibat aktiviti menuba ikan.

Beliau juga meminta pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya aktiviti menangkap ikan di sungai berkenaan dihentikan serta merta kerana bimbang akan memberikan kesan negatif kepada penduduk.

“Saya juga mendesak pihak berwajib supaya mengeluarkan arahan kepada orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan disepanjang sungai ini sehingga ianya benar-benar disahkan selamat,” katanya. - HARAKAHDAILY 5/1/2016

Share on Myspace