Kelantan bina jalan alternatif ke Pemberian

SALMAH MAT HUSAIN | .

 

KOTA BHARU: Penduduk Kampung Pemberian, Kuala Krai yang terputus hubungan akibat jambatan besi runtuh baru-baru ini akan dibina laluan alternatif melalui Slow Mengkuang.

Laluan sepanjang 3.6 kilometer itu dianggar bernilai RM1.4 juta akan dibina kerajaan negeri.

Laluan alternatif tersebut sebelum ini dirintis Penyelia Dun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin setelah jambatan menghubungkan Kampung Pemberian dengan Manjor runtuh 29 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata laluan itu dari jalan Slow Mengkuang melalui Bukit Kuah.

Katanya, keadaan jalan sedia ada ke kampung tersebut hanya 30 peratus daripadanya jenis konkrit dan selebihnya jalan berbukit melalui kebun penduduk.

“Kita perlu menyegerakan laluan tersebut memandangkan jambatan yang rosak mengambil masa agak lama untuk dibaiki.

“Lagi pun laluan alternatif terletak di kawasan lebih tinggi dan tidak ditenggelami air. Ini dapat memudahkan penduduk ke pekan bagi membeli keperluan harian,” katanya di sini, hari ini.

Semalam beliau bersama Ku Zaki dan pegawai Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai serta JKR meninjau jambatan besi yang runtuh akibat rempuhan kayu hanyut.

Dan kelmarin Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Azmi Tengku Jaafar turut meninjau kerja-kerja menyodok laluan alternatif tersebut.

Hanifa juga berkata seramai 1,900 penduduk Kampung Pemberian, 76 pelajar yang belajar di Sekolah Menenga Kebangsaan Laloh terpaksa menggunakan jambatan sementara setiap hari.

Selain itu seramai 18 guru berulang alik ke Sekolah Kebangsaan Pemberian juga menggunakan jambatan sementara itu.

“Angkatan Tentera Malaysia menyediakan letfloat bagi menyeberangi sungai tersebut menggantikan jambatan yang runtuh.

“Bagaimanapun ia hanya boleh dilalui pejalan kaki sahaja,” katanya.

Baru-baru ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor berkata kerajaan pusat melulus peruntukan RM40 juta bagi membina jambatan baru di Pemberian.

Janji membina jambatan sebelum ini sudah acap kali disebut pemimpin Umno terutamanya ketika kempen pilihan raya. - HARAKAHDAILY 5/1/2016

Share on Myspace