Wujud mekanisme pantau perbelanjaan bajet 2016

HARAKAHDAILY | .

Berdasarkan kepada cabaran getir yang diunjurkan pada tahun 2016, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa kerajaan menyediakan satu mekanisme pemantauan khas perbelanjaan bajet.

Hal ini juga bagi memastikan setiap butiran yang diperuntukkan dalam Anggaran Perbelanjaan Bajet Persekutuan 2016 dapat diikuti dengan cermat oleh rakyat.

Mekanisme ini juga penting kerana ia dapat meningkatkan ketelusan dan integriti kerajaan dalam membelanjakan hasil pendapatannya.

Antara isu utama juga yang berlaku pada hari ini adalah kekurangan data mengenai butiran perbelanjaan yang telah digunakan oleh kerajaan.

Hal tersebut akan menyebabkan pelbagai isu serta keraguan yang timbul terhadap tahap keberkesanan pengurusan kerajaan.

Tambahan pula, menurut anggaran pada tahun 2016, kebanyakan hasil kerajaan adalah secara langsung daripada rakyat. Contohnya, cukai pendapatan (RM30 bilion): cukai syarikat (RM 74 bilion) dan cukai barang dan perkhidmatan (RM39 bilion).

Ini satu justifikasi yang kukuh supaya mekanisme pemantauan bajet ini mesti dilakukan untuk meningkatkan partisipasi rakyat dalam pembangunan negara.

Contohnya, berdasarkan laporan media, rakyat sering kali dimaklumkan bahawa hasil daripada pengurangan subsidi petrol akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam.

Adakah ia benar dilakukan? Peruntukan-peruntukan untuk membina infrastruktur awam seperti hospital dan sekolah, adakah ia telah dilakukan mengikut bajet?

Oleh itu, satu mekanisme pemantauan khas mesti diwujudkan bagi meningkatkan aksesibiliti terhadap maklumat-maklumat perbelanjaan yang telah digunakan bagi membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Kita tidak mahu sebarang ketirisan, pembaziran dan korupsi diselindung dan tidak dipertanggungjawabkan walhal hasil pendapatan kerajaan sebahagian besarnya adalah daripada poket rakyat sendiri.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
24 Rabiul Awwal 1437 / 5 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 5/1/2016

Share on Myspace