Syura benar kerjasama demi Islam

HARAKAHDAILY | .

Keputusan Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada 21 Rabiul Awwal 1437 bersamaan 2 Januari 2016.

1. Salah satu daripada dasar Islam yang dipegang oleh PAS ialah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Hal ini berasaskan kepada firman Allah swt di dalam Al-Quran:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)". (Surah Al Maidah: Ayat 2)

Sabda Rasulullah s.a.w:

حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ أَخْبَرَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Maksudnya: Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Lalu ditanya kepada Baginda, Ya Rasulullah s.a.w. kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim, Baginda menjawab , elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka. (Riwayat Imam Bukhari)

2. Berdasarkan kepada nas-nas tersebut, maka Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 21 Rabiul Awwal 1437H bersamaan 2 Januari 2016M telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana  pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

3. Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional.

DATUK DR NIK MOHD ZAWAWI SALLEH
Setiausaha Majlis Syura Ulamak
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - HARAKAHDAILY 6/1/2016

Share on Myspace