Dokumen hilang, PAS Perak lapor polis

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: PAS Perak telah membuat satu laporan polis berkaitan isu kehilangan barang dan dokumen Pejabat Perhubungan PAS Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, semalam.

Menurut laporan tersebut, bekas Setiausaha Kerja Badan Perhubungan PAS Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad telah menghantar surat perletakan jawatan berkuatkuasa pada 1 Januari 2016.

Di mana, segala urusan penyerahan tugas, dokumen dan segala keperluan di bawah seliaan beliau perlu diserahkan sebelum tarikh tersebut.

Namun, sehingga 4 Januari 2016 beliau masih gagal untuk berbuat demikian.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, kakitangan Pejabat Perhubungan PAS Perak mendapati semua bahan arkib sejarah PAS Perak yang dipamerkan di pejabat telah tiada.

Jelasnya, segala rekod dan dokumen dalam komputer untuk kegunaan pejabat turut dipadamkan.

Razman mengesahkan Khalilul mengakui tindakan itu adalah perbuatannya sebagaimana perbualan telefon dengan mereka berdua.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan memohon kepada semua ahli PAS Negeri Perak untuk sama-sama mengadakan solat hajat agar ditemukan semula segala yang hilang dan PAS dilindungi daripada pengkhianat.

Zawawi mengingatkan, semua ahli PAS agar tidak menyebarkan sebarang berita mengenai kehilangan tersebut melainkan daripada sumber media rasmi PAS dan menunggu sehingga siasatan serta tindakan sewajarnya selesai. – HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace