2016: Subsidi LPG akan terhapus?

HARAKAHDAILY | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mahu skim subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) mesti dikekalkan walaupun Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membongkarkan ketirisan yang berlaku dalam skim tersebut yang menjangkau kira-kira RM800 juta pada tahun lalu.

Masalah tersebut tidak boleh menjadi justifikasi utama untuk menghapuskan skim subsidi LPG kepada sektor domestik (penggunaan kediaman). Kementerian harus melihat kepada akar masalah dan membuat pertimbangan sewajarnya jika terdapat mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan terhadap skim subsidi berkenaan termasuk penyeludupan ke negara-negara jiran.

Jika merujuk kepada kenyataan Ketua Setiausaha tersebut, kemungkinan besar skim subsidi LPG akan dihapuskan sepenuhnya oleh pihak kerajaan pada tahun 2016. PAS mendapati cadangan untuk mengkaji semula subsidi LPG ini telah disuarakan sejak awal tahun 2015 atas faktor margin keuntungan yang sedikit. Namun, cadangan tersebut telah ditangguhkan.

PAS berharap agar kerajaan turut memberikan perhatian kepada golongan pertengahan (M40) yang mungkin akan terjejas lebih teruk sekiranya kerajaan mengambil langkah melaksanakan subsidi bersasar khusus kepada golongan bawahan (B40).  

Di kawasan bandar, golongan M40 sangat terkesan dengan pelbagai pakej kenaikan harga dan kadar baru bagi barang dan perkhidmatan sejak awal tahun 2015 lagi.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS PusatHARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace