Gerbang Haji Cheng Ho ilham Allahyarham Tok Guru

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Dataran Rehal berhampiran Masjid Muhammadi menjadi lokasi wajib bagi setiap pelancong ke Kelantan, namun tidak lama lagi bakal muncul pula mercu tanda baru.

Pintu Gerbang Haji Cheng Ho Cina Town di Jalan Kebun Sultan yang kini sedang dalam pembinaan akan menambahkan lagi destinasi pelancongan di Kelantan.

Nama Cheng Ho dipilih Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengumumkan nama baru lokasi tersebut pada 8 Mac 2013.

Menurut mantan Menteri Besar terbabit nama Cheng Ho dipilih sebagai iktibar kejayaan pelayaran Cheng Ho, seorang pahlawan beragama Islam dari China ke Melaka.

Ketua Penolong Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Azman Mohd Daham berkata kawasan Haji Cheng Ho Cina Town Kota Bharu mempamerkan kewujudan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan.

Katanya pengisytiharan Haji Cheng Ho Cina Town diharap dapat meningkatkan persepsi positif terhadap dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dipraktik di Kelantan sejak 1990.   

“Lokasi tersebut menggambarkan keharmonian, kedamaian, kesejahteraan dan keadilan antara kaum yang wujud di Serambi Mekah sejak berzaman,” katanya di sini.

Jalan Kebun Sultan merupakan lokasi perniagaan yang sebahagian besar didominasi kaum Cina. Suasananya begitu meriah pada waktu malam.

Di sepanjang jalan itu terdapat Dewan Perniagaan Cina Kelantan, pasar basah Cina, dan wujud banyak restoran dan gerai-gerai makanan kaum tersebut.

Manakala pada sebelah malam pula ramai peniaga Melayu menjalankan perniagaan menjual makanan di gerai bergerak.

Azman juga berkata, pembinaan pintu gerbang tersebut melibatkan kos kira-kira RM1 juta dijangka siap tidak lama lagi.

“Seni binanya berciri tamadun Cina dan gambaran permuafakatan persatuan, komuniti dan peniaga kaum Cina dan kaum-kaum lain yang ada di Kelantan,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan dimulakan akhir tahun lepas di mana pembiayaan disumbang pelbagai pihak.

Masjid Beijing di Rantau Panjang merupakan bangunan berbentuk seni bina Cina dan pelbagai kaum yang pertama dibina kepimpinan ulama. – HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace