EAIC sentiasa buka pintu kerjasama - Datuk Yaacob

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pihak selagi mana ia berada di dalam ruang lingkup bidang kuasa EAIC di bawah Akta 700.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam ketika temubual bersama Harakahdaily hari ini berkata, pada tahun lepas, EAIC telah menerima undangan dan jemputan dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai panel mahupun peserta seperti kunjungan daripada Amnesty International dan SUARAM dan juga undangan daripada Majlis Peguam Malaysia (Malaysian BAR Council).

"Ini memperlihatkan EAIC merupakan badan bebas dalam mengendalikan aduan-aduan berkaitan salah laku melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya.

"Pada tahun 2015, kita telah mengadakan sesi dialog yang melibatkan pengurusan tertinggi di beberapa agensi seliaan EAIC, melalui dialog ini kita dapat mengemukakan syor-syor berkaitan untuk perhatian ketua agensi masing-masing di samping dapat memberi gambaran kepada EAIC tentang masalah dan cabaran yang dihadapi oleh agensi," katanya di pejabatnya.

Menurut beliau, bagi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang berintergriti kalangan agensi penguatkuasaan, suruhanjaya itu telah menyusun beberapa program dan pendekatan dalam usaha menangani dan mengurangkan salah laku dalam kalangan agensi penguatkuasaan.

"EAIC juga tegas dalam mengendalikan sesuatu aduan, jika agensi penguatkuasaan gagal memberi maklum balas dalam tempoh masa yang ditetapkan, tindakan untuk siasatan penuh akan dijalankan.

"Selain itu, EAIC juga telah menubuhkan unit aduan dan siasatan khas untuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di bawah bahagian Operasi. Unit ini akan memantau dan memfokuskan adauan-aduan yang melibatkan PDRM," katanya lagi.

Beliau yakin dengan usaha ini, EAIC dapat mengurangkan dan menyelesaikan aduan dalam tempoh yang ditetapkan.

Tambah beliau lagi, EAIC juga dari semasa ke semasa akan mengeluarkan laporan pasukan petugas terutamanya berkaitan kematian dalam tahanan. Laporan ini juga turut dipanjangkan kepada Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Agensi.

Untuk makluman, dari tahun 2011 hingga 2015, PDRM telah mencatat aduan sebanyak 921, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia iaitu 67, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 42 aduan dan Kastam DiRaja Malaysia (42).

Sementara itu, sehingga 6 Januari 2016 sebanyak tiga aduan telah diterima membabitkan PDRM. – HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace