Isu ahli majlis: Amalan politik 'hijack' oleh PAN dikecam

HARAKAHDAILY | .

Firman Allah s.w.t. dalam surah al Anfal ayat 27 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).


Tuntutan tidak munasabah dan melangkaui hak yang dibuat oleh PAN kepada Kerajaan Selangor berkaitan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Tuntutan PAN ini menggambarkan sikap dan rupa mainan politik kotor mereka yang langsung tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri Selangor yang dibina atas persepakatan dan kemenangan dengan paduan 3 kompenan parti iaitu PAS, PKR dan DAP pada PRU13 yang lalu.

PAN daripada awal penubuhannya telah memperlihatkan cara politik tidak berakhlak dan tiada maruah diri dengan melarikan beberapa kerusi PAS Dun dan Parlimen di Selangor dengan melalui jalan pintas. Terbaru mereka juga ingin melakukan tindakan yang sama dalam mendapatkan kedudukan dalam Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

PAN sebenarnya tidak memiliki apa-apa hak dalam Kerajaan Selangor walaupun mereka bersahabat dengan PKR dan DAP. Mereka tidak patut dengan sewenang-wenang ingin memposisikan orang mereka dalam kerajaan apatah lagi ingin mengambil kerusi Ahli Majlis daripada PAS Selangor.

Berdasarkan kepada senario terkini hal Ahli Majlis PBT, dengan ini kami daripada ketiga-tiga Dewan iaitu Ulamak, Pemuda dan Musimat PAS Selangor ingin menegaskan:

1. Kami bersama dengan pendirian yang telah dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor YB Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa PAS Selangor sama sekali tidak akan melepaskan kerusi Ahli Majlis PAS kepada PAN.

2. Kami juga tetap mempertahankan kerusi Ahli Majlis PBT PAS yang sebelum ini dan begitu juga lantikan-lantikan politik PAS yang lain dalam kerajaan negeri.

3. Kami juga merujuk kepada keputusan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor bahawa PAS akan mempertimbangkan kedudukannya dalam Kerajaan Negeri Selangor sekiranya hak PAS diketepikan dan PAN dengan mudah boleh berada dalam kerajaan negeri.

4. PAN adalah parti daripada pengkhianatan kepada perjuangan Islam yang tiada jaminan bahawa ia tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap pihak lain.

BerIstiqamahlah Sehingga Kemenangan

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor

USTAZ SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor

USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor

25 Rabiul Awwal 1437 / 6 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 6/1/2016

Share on Myspace