Kerjasama: Keputusan Majlis Syura tak perlu dipertikai

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Keputusan Majlis Syura Ulama seperti yang diumumkan semalam cukup jelas dan ia tidak perlu dipertikaikan lagi.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata PAS menolak kerjasama dengan Umno atau BN.

“Orang ramai termasuk media diminta mendapat maklumat dari sumber yang jelas berkaitan isu hubungan PAS dan Umno termasuk Harakahdaily bagi mengelakkan kekeliruan.

“Jadi sesiapa yang masih meragui atau tidak faham boleh merujuk kepada Harakahdaily. Saya juga percaya orang Umno atau BN juga baca,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Majlis Syura Ulamak PAS semalam mengeluarkan kenyataan memutuskan tidak akan bergabung dengan Umno, sebaliknya hanya mengadakan kerjasama dengan sesiapa sahaja bagi manfaat Islam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan kerjasama PAS dengan pihak lain hanya dalam perkara kepentingan masyarakat.

Mohd Amar juga berkata, PAS masih bekerjasama dengan PKR. Pakatan Rakyat masih wujud walau pun hanya dua parti sahaja yang bergabung.

“Kami tidak boleh halang hubungan antara PKR bersama Pakatan Harapan dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

“PAS hanya ada hubungan dengan PKR malah ia tidak ada kaitan langsung PAS disisihkan oleh PAN dalam Pakatan Harapan,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata PAS hanya akan meneliti program yang dianjur sekiranya Umno dan BN menjemput menghadiri program mereka.

“Kita akan teliti terlebih dahulu, sekiranya program memberi manfaat kepada semua pihak khususnya masyarakat PAS tidak menolak jemputan itu,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 6/1/2016

Share on Myspace