Bauksit: Pusat dan negeri perlu muhasabah

HARAKAHDAILY | .

PAS Pahang menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar semalam bahawa semua aktiviti berkaitan dengan bauksit dihentikan berkuatkuasa 15 Jan 2016 untuk tempoh 3 bulan.

Keputusan yang dibuat selepas banyak bantahan daripada penduduk dan selepas melihat tahap pencemaran yang amat teruk melibatkan alam sekitar seperti sungai dan laut dilihat agak terlewat, namun lebih baik lewat daripada tidak berbuat apa-apa.

PAS Pahang menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menggunakan tempoh penangguhan ini untuk bermuhasabah dan mengkaji apakah kesilapan dan kelemahan yang ada dalam mengendalikan perkara berkaitan dengan bauksit selama ini.

Seterusnya pihak kerajaan perlu mempastikan segala kelemahan tersebut diatasi sebelum membenarkan semula semua aktiviti berkaitan bauksit diteruskan.

Kemusnahan alam sekitar yang telah berlaku perlu ada langkah-langkah aktif untuk mengembalikan semula kepada keadaan asal semaksima mungkin serta perlu wujud langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang berkesan.

Keuntungan kewangan yang diperoleh oleh pihak-pihak yang terlibat termasuklah kerajaan negeri, tidak seharusnya menggadaikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuklah alam sekitar.

Sekiranya didapati segala arahan dan peraturan tidak dipatuhi, maka kerajaan negeri harus proaktif dengan menghentikan serta merta semua aktiviti walaupun ada pihak yang bakal mengalami kerugian.

Rakyat perlulah menjadi keutamaan berbanding keuntungan kewangan, bersuaian dengan apa yang dituntut oleh Islam agar pemimpin itu sentiasa memelihara maslahah rakyat.

PAS Pahang berharap pihak kerajaan negeri harus juga melibatkan semua pihak yang berkepentingan di dalam menentukan langkah-langkah yang bakal diambil bagi mempastikan masalah yang sama tidak berulang selepas tempoh ini tamat kelak.

PAS Pahang menggesa agar pihak kerajaan mengutamakan rakyat didalam apa jua aktiviti sama ada melibatkan ekonomi atau sebagainya, mengutamakan 'menolak mudarat' daripada mengecapi keuntungan sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace