EAIC pandang serius isu OKT mati dalam tahanan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memandang serius tentang kes-kes kematian orang kena tuduh (OKT) di dalam lokap yang berulang kali berlaku di dalam negara ini.

Pengerusinya, Datuk Yaacob Md Sam berkata insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan tahanan tersebut berada di dalam pemantauan pihak polis.

"Sehingga sekarang tiga kes telah disiasat EAIC iaitu membabitkan  kematian James Ramasamy di Pulau Pinang, Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur di Johor dan Dharmendran Narayanasamy di Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga kes tersebut telah selesai kita lakukan siasatan. Bagi kes Ramasamy kita dapati tidak ada salah laku pihak polis sebaliknya beliau disahkan mati akibat daripada penyakit hati yang kronik akibat daripada pemgambilan dadah dan alkohol yang berlebihan.

"Manakala kes Syed Azlan, kita dapati ada salah laku pihak polis dan laporan telah kita kemukakan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Peguan Negara (AG), Ketua Setiausaha kementerian Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya kepada Harakahdaily di pejabatnya semalam.

Tambah beliau lagi, bagi kes kematian Dharmendran pula, EAIC telah berjaya memuktamadkan siasatan secara pendengaran awam dengan memanggil 62 orang saksi dalam lima sesi pendengaran sejak akhir bulan Julai 2015 hingga 16 November 2015.

"Di samping siasatan-siasatan tersebut, terdapat tiga lagi siasatan yang sedang dijalankan oleh EAIC secara siasatan awalan (preliminary investigation) terhadap kematian tiga lagi orang tahanan semasa berada di lokap polis di lokasi yang berlainan.

"EAIC amat memandang berat insiden atau kejadian-kejadian yang melibatkan kematian orang tahanan semasa berada di dalam atau jagaan pihak berkuasa, yang perlu dibanteras daripada terus berlaku," katanya lagi.

Yaacob yang tidak menolak melalui siasatan atau kajian yang diperolehi kes-kes kematian yang berlaku disebabkan anggota polis tidak memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"SOP mengatakan kekerasan tidak boleh dilakukan sewaktu melakukan penangkapan ataupun ketika siasatan dijalankan.

"Kecuaian pegawai polis untuk faham secara menyeluruh tentang SOP memyebabkan tindakan mereka melangkaui apa yang telah ditetapkan, secara tidak langsung akan mendatangkan kecederaan kepada individu yang ditahan," kata beliau lagi.

Beliau mengharapkan agensi penguatkuasaan perlu memahami sepenuhnya SOP dan mengamalkannya bagi mengembalikan keyakinan orang awam bahawa anggota keluarga mereka sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat daripada sebarang kecederaan atau penderaan semasa berada di bawah kuasa pihak berkuasa. - HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace