Penempatan banjir kerajaan pusat dipenuhi semak

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Sehingga sekarang hanya penempatan banjir di Telekong diwujudkan inisiatif kerajaan negeri, sebaliknya di Batu Jong dan Sungai Durian dirancang kerajaan pusat yang diterajui Umno hanya ditumbuhi semak dan lalang.

Sebanyak 60 rumah kekal siap dibina penempatan baru di Telekong hasil sumbangan Pusat Zakat Negeri Selangor.

Adun Mengkebang Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata pemilihan mangsa banjir yang akan mendiami rumah kekal di Telekong diurus Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Katanya, mangsa banjir terbabit merupakan kalangan asnaf yang layak menerima bantuan rumah kekal kerana sebelum ini mereka menumpang di tanah kerajaan.

Bagaimanapun kata beliau projek rumah kekal di bawah kerajaan pusat pimpinan Umno di Batu Jong dan Sungai Durian belum dimulakan lagi biar pun sudah lebih setahun banjir besar berlalu.

“Sebelum ini difahamkan penduduk yang tinggal di lokasi tersebut diarah berpindah kerana projek rumah kekal mangsa banjir akan dibina kerajaan pusat.

“Malangnya sehingga sekarang projek berkenaan belum dimulakan. Malah kawasan itu dipenuhi semak dan lalang yang tumbuh meliar,” katanya.

Ketika banjir besar melanda akhir 2014 hampir 2,000 rumah penduduk di Kuala Krai musnah sama sekali dan hanyut. Sebahagian besar mereka sekarang tinggal menumpang di rumah transit dibina pelbagai NGO.

Manakala sebahagian mangsa banjir yang ada lot sendiri mendapat rumah dibina kerajaan negeri, pusat, PAS dan NGO.

Sementara itu Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, sebanyak 30 daripada 59 rumah kekal mangsa banjir di Desa Darul Ehsan Manek Urai Baru siap sepenuhnya kecuali bekalan elektrik.

Katanya, pemilik rumah terbabit boleh membayar deposit di Tenaga Nasional Bhd bagi membolehkan bekalan elektrik disambung ke rumah mereka.

Sebanyak 59 rumah kekal dan sebuah madrasah dibina di desa tersebut disumbang kerajaan Selangor.  – HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace