Kit Siang masih bermimpi lagi?

ASPAN ALIAS | .

LIM Kit Siang memberi jaminan Melayu tidak perlu takut jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya yang akan datang. Pakatan Harapan akan mentadbir negara mengikut apa yang dipandukan oleh Perlembagaan Negara dan menjaga setiap kepentingan bangsa di negara ini.

Dalam pilihan raya yang lalu Pakatan Rakyat menjanjikan janji-janji yang sama tetapi Pakatan Rakyat itu sendiri terkubur, jauh sekali untuk melaksanakan janji-janji itu.

Bagi saya selagi Pakatan Harapan tidak mempunyai satu parti yang mampu mengetuai dan memandu Pakatan itu, janji-janji itu elok kita akui ia merupakan mimpi di siang hari semata-mata. Kita tidak tahu siapa yang memimpin Pakatan Harapan ini. Adakah PKR? Atau DAP atau parti serpihan PAS Parti Amanah?

Sebusuk-busuk BN, Umno menjadi ketuanya, tetapi dalam Pakatan Harapan tidak ada satu parti pun yang boleh mengetuainya, setakat DAP membuat bising di Selangor untuk membuat tekanan dan pengaruhnya dan tidak pula membenarkan parti-parti lain untuk bersuara di Pulau Pinang.

Setakat ini Pakatan Harapan belum memerintah kerajaan Persekutuan lagi pun sudah nampak kekecohan dan keadaan tidak sehaluan di antara satu parti dengan parti yang lain.

Kita bukan tidak mahu Pakatan Harapan memenangi pilihan raya kali ini tetapi hakikatnya kerajaan Pakatan Harapan akan terkubur dengan cepat jika mereka mendapat mandat untuk mentadbir negara ini.

Sesungguhnya inilah dilema yang jelas dalam kalangan rakyat sekarang. DAP tidak akan mampu meyakinkan rakyat yang parti itu tidak akan berbuat bising dan menjadi buas jika ada kuasa selepas pilihan raya nanti.

Begitu baik dengan PAS, akhirnya PAS dianggap sebagai parti musuhnya semata-mata kerana mahukan golongan yang kalah dalam pemilihan parti PAS untuk menjadi rakannya.

Tidak ada salahnya kumpulan ini menubuhkan apa-apa parti pun tetapi ia ditubuhkan selepas penajanya adalah dalam kalangan mereka yang tewas dalam pemilihan parti PAS dan ditambah pula semasa DAP sedang menghimpit PAS untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

Asas waktu penubuhan parti ini tidak dapat memberikan nilai tambah kepada kewujudannya dan sebab kenapa parti itu wujud.

Harapan Lim Kit Siang itu, saya anggapkan sebagai pungguk rindukan bulan sahaja atau bermimpi di siang hari. Walaupun DAP segar dan kuat mendaftarkan pengundi-pengundi di kawasan Shah Alam misalnya tetapi itu merupakan kawasan yang dipegang oleh rakan kongsinya Khalid Samad. Itu juga sudah menjadi persoalan oleh banyak pihak.

Bagi sesiapa yang mempunyai tenaga untuk dibazirkan, sememangnya bolehlah meneruskan membina parti Amanah ini tetapi bagi mereka yang sudah tidak mempunyai banyak tenaga lagi elok fikirkan kembali niat untuk membina parti itu yang saya anggap sebagai tindakan yang membuang waktu dan masa kehidupan kita sahaja.

Akhirnya nanti, Parti Amanah akan hanya dijadikan sebagai ‘pelapik kaki’ sahaja oleh rakan kongsinya dengan menggunakan pemimpin-pemimpin yang sudah selesa dengan kehidupan bersama DAP. Orang yang di bawah ini hanya menjadi umpan semata-mata.

Itulah realitinya. Jika umur kita panjang, sama-samalah kita lihat apa kesudahannya nanti. - aspanaliasnet.blogspot.my

Share on Myspace