Untung lumayan, makin ramai jual air ketum

BERNAMA | .

TAPAH: Keuntungan lumayan selain permintaan tinggi merupakan antara faktor yang menyebabkan semakin banyak pihak terjebak dalam penjualan air ketum di sini, kata Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliau.

Beliau mendedahkan 500 mililiter air ketum boleh dijual pada harga RM10, sedangkan harga untuk mendapatkan satu kilogram (kg) daun ketum hanya RM30.

"Individu yang menjual air ketum boleh mendapat keuntungan berganda dan tidak hairanlah semakin banyak tangkapan dilakukan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya kepada Bernama.

Menjelas lanjut, Som Sak berkata sebanyak 27 kes tangkapan berhubung aktiviti menjual dan memproses air ketum direkodkan di sini sepanjang tahun lalu, meningkat sebanyak 29.72 peratus berbanding hanya 11 kes pada 2014.

Sementara pada tahun 2013, jumlah tangkapan yang direkodkan adalah tujuh kes, katanya.

Som Sak berkata hasil rampasan daun ketum turut meningkat sebanyak 38.62 peratus iaitu daripada 37 kg masing-masing pada 2013 dan 2014 kepada 95.8 kg pada tahun lalu.

"Kita turut merampas air ketum sebanyak 211.65 liter tahun lepas berbanding 86 liter pada 2013 dan 2014," katanya.

Beliau berkata peningkatan ketara kes tangkapan dan jumlah rampasan disebabkan permintaan terhadap daun ketum yang semakin meningkat selain bahan itu mudah didapati terutama sekitar di Sungkai serta Tapah.

Pada Khamis, polis Tapah menahan dua beradik dan merampas 30 kg daun ketum yang belum dan telah diproses, 27 bungkusan air rebusan daun itu yang bernilai kira-kira lebih RM1,000 serta peralatan memproses, di sebuah kediaman di Jalan Temoh di sini.

Ia merupakan antara kes tangkapan terawal Polis Tapah tahun ini. - Bernama

Share on Myspace