Hari ini dalam sejarah PAS (8 Jan)

HARAKAHDAILY | .

USTAZ KHAIDIR KHATIB DILANTIK PESURUHJAYA PAS KELANTAN (8 JANUARI 1962)

PADA hari ini dalam tahun 1962, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik Ustaz Khaidir Khatib sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan yang kedua menggantikan Mohd Asri Haji Muda yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 5-6 Januari 1962. Beliau dilantik bersama pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS negeri yang lain.

Ustaz Khaidir merupakan seorang tokoh politik Islam yang berasal dari Sumatera Barat dan mendapat pendidikan tinggi agama di sana. Beliau berhijrah ke Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua dan pernah terlibat dengan gerakan politik Islam di sana.

Di Tanah Melayu, beliau berkhidmat sebagai guru agama di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol dan terlibat aktif dalam Hizbul Muslimin pada 1948.

Beliau yang menyertai PAS pada 1954 telah dicalonkan bertanding di Dun Ulu Kelantan Barat pada 1959 dan menjadi wakil rakyat sehingga 1964.

Pada awal 1962, kerana perlantikan Mohd Asri sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Khaidir telah menggantikan Mohd Asri sebagai pemimpin utama PAS Kelantan.

Antara objektif penting daripada perlantikan ini adalah untuk membolehkan konsep parti menguasai kerajaan diamalkan di Kelantan, selain mengukuhkan kedudukan Kerajaan PAS Kelantan terutama selepas Pilihan Raya Umum 1964.

Ustaz Khaidir selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri yang baru dilantik sebagai menteri besar pada 10 Mei 1964, iaitu satu langkah penting untuk membolehkan parti menguasai kerajaan.

Antara sumbangan terbesar Ustaz Khaidir selaku pimpinan utama PAS Kelantan ialah cadangan beliau supaya Menteri Besar, anggota Exco dan Adun-Adun membuat potongan gaji secara tetap untuk disumbang dalam Dana Pendidikan Kelantan bagi membiayai pendidikan tinggi anak-anak Kelantan.

Antara pelajar yang dibiayai dari dana ini ialah Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Daud Mohamad (Qadhi Besar Kelantan). Hari ini, dana yang pernah dipengerusikan oleh Ustaz Khaidir ini telah dikenali sebagai Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Ustaz Khaidir yang juga Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Yang Dipertua PAS Ulu Kelantan, terus menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan semenjak 8 Januari 1962 sehingga digantikan oleh pesuruhjaya ketiga, Haji Mohd Noor Yusoff (Haji Mohd Noor Machang) pada 23 April 1968.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 8/1/2016

Share on Myspace