Bauksit: Ada ‘lakonan’ di sebalik penguatkuasaan?

IZWAN ABDUL HALIM | .

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob kelihatannya tidak begitu selesa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mengenakan moratorium selama tiga bulan ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang. Beliau memberi reaksi balas secara sinikal terhadap pihak yang mengajukan gesaan kepadanya, termasuk ketika menjawab pertanyaan media.

Ada nada keangkuhan tatkala dihadapkan ingatan kepadanya bahawa berlaku kematian dalam isu tersebut di mana mengaku beliau akan bertanggung jawab dan perlu mencontohi raja iaitu rapat dengan rakyat dan sekiranya tidak berbuat demikian tidak akan memenangi pilihan raya.

Malah, beliau mendakwa bahawa rakyat Pahang mahu perlombongan bauksit diteruskan dan seakan mengejek pihak tertentu apabila menyifatkan moratorium itu akan memberikan keuntungan yang lebih kepada syarikat perlombongan.

“Apabila bekalan berkurangan, barang akan naik. Ini satu rahmat kepada syarikat perlombongan dan kalau saya jadi mereka, saya akan ‘nikmati’ tempoh moratorium ini,” katanya 6 Januari lalu.

Sedangkan, beliau menyatakan bahawa 34 Lesen Melombong Bijih yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri dibatalkan berkuatkuasa 31 Julai tahun lalu selain turut mengeluarkan penegasan keras ke atas pemilik Lesen Melombong Tuanpunya dan Lesen Melombong dikeluarkan Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

Menurut Adnan, pada asalnya pihak beliau mahu membatalkan lesen-lesen berkenaan berkuatkuasa 31 Ogos tetapi dipercepatkan kerana wujud desakan.

“Saya beritahu mereka, kalau rakyat ‘complaint’, kalau orang hantar memorandum sebagainya, maka jangan terkejut kalau Kerajaan Persekutuan pula haramkan pengeksportan bauksit sebagaimana Kerajaan Indonesia haramkan.

“Saya dapat ‘feedback’, mereka nampaknya sedang berusaha untuk membersihkan jalan sebagainya. Sebab, lori yang keluar tu, macam lori tepung, menggangu orang lain, jalan semua merah,” ujarnya merujuk pertemuan kali keempat bersama pengusaha-pengusaha bauksit 8 Julai di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.

Selain itu katanya, tindakan penguatkuasaan bersepadu telah dijalankan 24 jam oleh agensi-agensi berkaitan.

Perkara itu diceritakannya kepada khalayak penduduk semasa Majlis Berbuka Puasa bersama-sama penduduk Dun Pelangai pada 11 Julai tahun lalu di Bentong.

Tetapi, suara yang dahulunya dilihat prorakyat, kini berubah dan seakan menyembunyi serta mempertahankan sesuatu.

Apakah kerana Kerajaan Negeri Pahang mengaut laba yang besar sebagaimana diumumkan Adnan iaitu royalti sebanyak RM46.7 juta pada 2015 berbanding hanya RM2.4 juta pada 2014.

Menurut laporan, Malaysia mengeksport lebih 20 juta tan bauksit ke China untuk tempoh 11 bulan pertama 2015 iaitu 700 peratus peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Begitu juga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serentak pengumuman Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada hari sama telah mengeluarkan kenyataan bahawa wujud unsur rasuah dalam isu bauksit itu.

Ia diikuti penahanan empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang termasuk seorang pegawai kanan kerana disyaki menerima suapan dari pengusaha bauksit. Tiba-tiba dua hari selepas itu, pihak SPRM turut berubah nada menyatakan kebuntuan dan dilema dihadapi dalam menjalankan siasatan.

Sudah terasa riak-riak yang penuh mencurigakan terhadap isu ini semua akhirnya akan sekadar menjadi plot drama di atas lakonan dan hipokrit pihak berkepentingan. Rakyat jualah yang akan terus menjadi mangsa diselimuti segala masalah pencemaran air dan udara serta terjejasnya ekologi alam sekitar.

Ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan di masa depan juga menjadi pertaruhan yang diabaikan demi memenuhi tembolok nafsu golongan tidak pernah puas. Ia menjadi keprihatinan seketika di media dan mungkin juga dipanaskan atas motif pertarungan atau perebutan tertentu pihak ‘di atas’ yang saling menjatuhkan untuk dominasi diri.

Kesudahan yang pasti adalah akan terbitnya sebuah kefasadan baru dan ia membenarkan kalam Allah sebagaimana terakam pada ayat 41 surah ar-Rum:

“Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”HARAKAHDAILY 8/1/2016

Share on Myspace