Kelengkapan pelajar mahal, naikkan bantuan sekolah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pemberian 'one off' sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah sejak diperkenalkan pada tahun 2013 perlu dinaikkan memandangkan kos kelengkapan pelajar sekolah semakin mahal saban tahun.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, pada tahun ini pelbagai kenaikan barang berlaku termasuklah pakaian sekolah dan kelengkapan persekolahan apatah lagi selepas kerajaan memperkenalkan GST pada tahun lepas.

"Bantuan 'one off' tidak bertambah dari tahun lepas lagi, sedangkan kenaikan kos saban tahun bertambah. Keadaan ini tidak selari dengan kenaikan barang-barang sekolah. Untuk buku latihan dan alat tulis pun hampir mencecah ratusan ringgit," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu katanya, banyak lagi kos-kos lain yang perlu ditanggung oleh ibu bapa termasuk yuran PIBG antara RM50 ke RM70 setahun serta yuran kokurikulum.

"Ini belum termasuk lagi dengan bayaran tuisyen untuk anak-anak, begitu juga dengan buku-buku teks dan rujukan. Ibu bapa boleh dikatakan terkesan dengan kenaikan kos pada tahun ini, paling kurang mereka terpaksa membelanjakan lebih RM500 setiap anak," katanya.

Rosni turut menyifatkan tahun 2016 yang baru menjengah merupakan tahun yang suram bagi rakyat negara ini dengan pelbagai bebanan terpaksa digalas ekoran kenaikan harga barang yang sangat melampau.

"Keadaan ini cukup terkesan khususnya buat ibu bapa yang mempunyai anak ramai apatah lagi masing-masing masih bersekolah," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, nilai bantuan ini semakin terhakis apabila tahun ini kerajaan menetapkan bantuan anak sekolah akan diberikan kepada ibu bapa berpendapatan RM3000 dan ke bawah, tidak seperti sebelum ini.

Justeru katanya, bagi menangani masalah ini kerajaan digesa mengambil langkah yang holistik dengan mencari punca masalah yang sebenarnya bukan sekadar mengambil hati rakyat dengan memberi pelbagai bantuan akhirnya tidak berjaya mengurangkan beban rakyat. - HARAKAHDAILY 9/1/2015

Share on Myspace