Deklarasi rakyat tolak TPPA

HARAKAHDAILY | .

Bersandarkan faktor-faktor yang disebutkan di bawah, di mana:

- Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) telah dirundingkan secara rahsia dan hasil rundingan juga telah diputuskan secara rahsia melalui proses yang tidak telus dan tidak demokratik oleh pegawai-pegawai kerajaan yang telah bekerjasama rapat dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan di dalam sektor komersial dan industri;

- Pandangan ikhlas dari masyarakat sivil, peniaga kecil dan komponen-komponen lain dari barisan rakyat biasa langsung tidak diambil kira;

- Tiada konsultasi yang bermakna telah dilakukan bersama rakyat biasa serta kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama;

- Keburukan yang ada pada TPPA menurut sumber yang sahih dan pandangan ahli ilmuwan adalah jauh lebih besar dari manfaat yang sedikit dan tidak pasti, terutama sekali kepada rakyat biasa yang sepatutnya dilindungi dari kerakusan kepentingan korporat;

- Dari segi konteks geopolitikal, TPPA merupakan suatu persaingan ekonomi, politik dan ketenteraan serta perlumbaan peluasan pengaruh global di antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan China yang akan menyebabkan negara kita Malaysia tersepit di tengah-tengah, digunakan sebagai bahan percaturan di dalam permainan geo-politik mereka;

- Teguran, nasihat dan amaran yang diberikan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negara - dari tokoh pemimpin dan ahli ekonomi serta rakyat biasa yang tiada kuasa – tidak diendahkan, adalah jelas bahawa kepimpinan negara sangat bersungguh-sungguh serta mempunyai keazaman yang kuat untuk menandatangani TPPA;

- Rakyat dan negara kita Malaysia, hanya diberi dua pilihan:

i. Menerima TPPA secara menyeluruh; atau

ii. Menolak TPPA secara menyeluruh

Dan Rakyat tidak diberikan cara atau jalan yang lain untuk membuat pilihan alternatif selain dari dua pilihan ini;
 
Maka sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara dan risau mengenai masa depannya, kami berpendapat bahawa adalah jelas:

1. Kepentingan rakyat tidak diletakkan sebagai prioriti utama di dalam proses perundingan ataupun di dalam membuat keputusan untuk menandatangani TPPA

Walaupun diakui oleh semua pihak yang berunding bahawa harga ubat-ubatan akan pasti meningkat dengan mendadak jika TPPA ditandatangani, namun pihak berwajib tidak menunjukkan hasrat untuk mengimbangi kepentingan pelabur asing dengan kepentingan rakyat biasa yang majoritinya memerlukan akses kepada ubat-ubatan mampu milik. Mengurangkan keupayaan rakyat biasa untuk mendapatkan ubat-ubatan mampu milik boleh mengakibatkan kematian. Keuntungan korporat sahaja tidak harus dijadikan prioriti utama di dalam mana-mana perjanjian yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

2. TPPA akan menjejaskan kedaulatan, integriti dan kemerdekaan negara dan institusi-institusi negara untuk membuat pilihan bagi kepentingan rakyat/awam

Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Kemerdekaan yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu di atas pengorbanan rakyat jelata yang menginginkan kebebasan untuk menentukan halatuju dan masa depan negara menurut acuan yang unik dan tersendiri tidak harus digadaikan bagi mengejar impian sebagai negara maju yang berpaksikan nilai-nilai yang tidak begitu sesuai dengan nilai-nilai dan adab yang diamalkan rakyat Malaysia sejak bertahun lamanya. Globalisasi datang dalam pelbagai bentuk dan membawa pelbagai ideologi.Bukan semua ide dan teori yang diterbitkan oleh negara maju sesuai bagi negara membangun. Setiap negara mempunyai sejarah dan kadar pembangunan yang berbeza dan tidak semestinya menggunakan acuan yang sama untuk mencapai kemakmuran dan kemajuan. Namun TPPA mewajibkan semua negara, tanpa mengira tahap pembangunannya untuk mencapat standard yang sama yang ditetapkan oleh sebuah negara maju dan kaya iaitu Amerika Syarikat. Bukankah ini “penindasan” namanya?

3. Tiada kepastian TPPA akan menguntungkan negara dan ia berisiko memberi impak negatif terhadap ekonomi negara.

Selama lima tahun sejak Malaysia mengambil bahagian di dalam proses perundingan, penyokong TPPA tidak mahu dan gagal untuk memberikan sebab-sebab yang jelas serta objektif dan analisis yang komprehensif, sistematik dan boleh dipercayai mengenai impak, kos dan keuntungan menjadi sebahagian dari perkongsian perdagangan tersebut. Analisis yang ada sekarang pun baru diterbitkan beberapa minggu yang lalu. Analisa Kos Faedah (Cost Benefit Analysis) dan juga Analisis Kepentingan Negara (National Interest Analysis) ini meremehkan risiko-risiko yang boleh timbul akibat TPPA sementara faedah-faedah yang tidak pasti pula dibesar-besarkan untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka – pekerja biasa ataupun usahawan PKS – akan mendapat keuntungan yang besar apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada perkongsian ini. Cuba sahaja kaji faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang lain yang hampir sama dengan TPPA di mana pelbagai janji telah dibuat agar sokongan diberikan oleh golongan pekerja dan sektor keusahawanan, dari peningkatan gaji kepada peluang pekerjaan  yang lebih banyak. Namun, janji-janji yang diberi kebanyakannya tidak dapat dipenuhi. Sebaliknya, pelaburan beralih ke negara lain, ramai yang hilang pekerjaan dan pengusaha perniagaan kecil dan sederhana terpaksa berhenti berniaga. Sanggupkah kita melalui apa yang mereka lalui? TPPA, seperti NAFTA dan perjanjian lain yang serupa hanya boleh menjanjikan angan-angan yang tidak dapat menjadi kenyataan.

4. Dengan TPPA, kepentingan negara dan syarikat asing mengatasi kepentingan domestik serta kepentingan rakyat dan perniagaan tempatan

Penambahbaikan kepada Bab Pelaburan dan mekanisma ISDS atau Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara hanya melibatkan perkara-perkara prosedur, manakala kelemahan asas dan kritikal seperti mekanisma rayuan dan akauntabiliti di dalam ISDS dan juga keistimewaan serta perlindungan yang diberikan kepada pelabur asing mengatasi kepentingan umum telah tidak diberi perhatian oleh penyokong dan penggerak TPPA.
 

5. TPPA tidak akan menyelesaikan masalah dan cabaran negara yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia masakini

Realitinya, keuntungan yang diharapkan dari TPPA hanya akan menguntungkan sesetengah pihak dan tidak dapat dinikmati oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Perjanjian ini tidak mungkin boleh menyelesaikan cabaran kos hidup yang semakin meningkat dan cabaran kehidupan itu sendiri (seperti peningkatan kos perubatan, kos pengangkutan dan barang-barang keperluan harian) serta jurang ekonomi yang makin melebar di antara yang miskin dan kaya, di antara kaum dan peningkatan golongan kelas miskin bandar. Lihat sahaja keadaan negara kita sekarang di mana rakyat merasa semakin tertekan. Penyelesaiannya bukanlah dengan mengambil bahagian di dalam perjanjian perdagangan yang mengekang dan berat sebelah. Sebaliknya, negara harus menumpukan usaha terhadap membina keupayaan domestik dan meningkatkan taraf hidup dan kemahiran rakyatnya dengan cara yang lebih bijak dan selamat.
 
6. TPPA tidak akan menggalakkan urus tadbir negara yang lebih baik
 
TPPA diangkat sebagai perjanjian yang bertaraf emas (gold standard) yang mengharuskan negara ahli untuk mengikuti terma-terma dan syarat yang sebelum ini tidak dimasukkan di dalam mana-mana perjanjian perdagangan yang lain. Wakil-wakil kerajaan juga telah membuat kenyataan bahawa TPPA akan menggalakkan pentadbiran yang lebih telus, terbuka dan efisien. Salah satu contoh yang diberikan ialah di dalam isu pemeliharaan alam sekitar dan hal ehwal pekerja. Persoalannya, mengapa TPPA diperlukan bagi menjalankan pentadbiran yang lebih telus, adil dan mesra rakyat? Perubahan-perubahan ini boleh dilakukan sekarang dan tidak perlu tunggu bulan hadapan, setahun atau dua tahun dari sekarang.
 
TPPA juga dikatakan boleh menghalang aktiviti rasuah kerana ia menggalakkan ketelusan. Kerajaan tidak perlu TPPA untuk menangani gejala rasuah atau korupsi. Polisi bebas rasuah ini telah lama diperkenalkan tetapi ia memerlukan semangat atau keazaman politik (political will). Kita boleh lakukan ini sekarang, tanpa menandatangani TPPA.
 
Jika diperhalusi terma-terma dan syarat itu, kita akan dapati terdapat pelbagai klausa yang menjerat, di mana kerajaan negara ahli tidak boleh menjalankan apa-apa polisi bagi kebaikan dan kesejahteraan rakyat jika ia melanggar syarat-syarat TPPA dan kepentingan korporat atau pelabur asing. Seterusnya, pihak pelabur asing juga boleh menyaman kerajaan di mahkamah antarabangsa tanpa melalui proses perundangan domestik. Kelebihan yang diberi kepada pelabur asing ini tidak patut diterima langsung oleh pihak perunding kerana ia meletakkan negara kita pada landasan yang lemah.
 
Justeru itu kami NGO-NGO yang mewakili rakyat pada hari ini menolak cadangan Malaysia untuk menandatangani TPPA dan mendesak kepimpinan negara membuat pilihan bijak untuk menolak perjanjian ini.

Hari ini kami mempertegaskan deklarasi rakyat tolak TPPA.

Menerima TPPA bererti kepimpinan menjual negara! - HARAKAHDAILY 9/1/2016

Deklarasi Rakyat Tolak TPPA telah disokong oleh lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik.

Share on Myspace