Sejarah: PAS kekal kerjasama dengan Semangat 46

HARAKAHDAILY | .

PAS KEKALKAN KERJASAMA DENGAN SEMANGAT 46 DALAM ISU HUBUNGAN DENGAN DAP (10 JANUARI 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menetapkan bahawa kerjasama PAS- Parti Semangat 46 (S46) dikekalkan dan tiada kajian semula dibuat ke atas hubungan politik tersebut, walaupun musuh-musuh politik PAS berusaha melaga-lagakan kedua-dua parti ini ekoran wujudnya kerjasama S46 dengan DAP.

Hubungan politik PAS dengan bekas Team B Umno telah terbentuk semenjak Umno berpecah pada 1988 dan PAS menganjurkan Makan Malam Pemikir Ummah pada 23 Disember 1988 yang mempertemukan pimpinan PAS dan pimpinan serpihan Umno, yang berkemuncak dengan kerjasama dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu yang dimenangi oleh calon PAS, Ustaz Harun Taib pada 25 Jun 1989.

Hubungan dengan serpihan Umno ini menjadi lebih kukuh apabila S46 telah berjaya didaftarkan pada Mei 1989, yang diikuti oleh tindakan Hamim keluar dari BN dan menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama Berjasa dan S46.

PAS pula membentuk kerjasama politik PAS-APU untuk mengukuhkan pembangkang Melayu Islam bagi menggantikan Umno yang telah berpecah.

Di sebalik pakatan PAS-S46 melalui APU ini, pada 9 Disember 1989, Presiden S46, Tengku Razaliegh Hamzah telah menghadiri program DAP di Kuala Lumpur dan mengesahkan hubungan politik kedua-dua parti tersebut. Ini menimbulkan reaksi negatif pimpiman PAS.

Bekas Penasihat Undang-undang PAS, Suhaimi Said telah bertindak menyeru ahli-ahli PAS supaya mengundi MCA yang menentang DAP dalam Pilihan Raya Kecil Bentong pada 13 Mei 1989 atas sebab menentang kerjasama PAS dengan DAP.

Ekoran ketegangan ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 1990, setelah menerima laporan pertemuan antara Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Nor dengan Tengku Razaliegh, telah mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan dengan S46 dan menasihati parti itu supaya tidak terlalu terbuka dalam hubungannya dengan DAP demi menjaga sensitiviti pengundi Melayu, terutama ahli-ahli PAS.

PAS bertegas bahawa kerjasama S46-DAP tiada kaitan dengan PAS, kerana hubungan PAS-S46 adalah satu kerjasama yang lain, yang S46 berhak berkawan dengan mana-mana parti politik.

PAS berpendapat bahawa pakatan PAS-APU merupakan alternatif terbaik kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 10/1/2016

Share on Myspace