Kesempitan mahasiswa: KPT gagal selesai jangka panjang

HARAKAHDAILY | .

Isu mengenai kesusahan hidup mahasiswa di kampus telah mendapat perhatian umum dalam sehari dua ini. Akhbar Harian Metro baru-baru ini mendedahkan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pengsan di dalam kelas akibat tidak makan selama dua hari kerana tidak berduit.

Sebelum ini juga banyak isu yang melibatkan kesusahan mahasiswa yang dihebahkan di media sosial namun tidak diambil perhatian secara serius oleh masyarakat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Muslim Volunteers Malaysia, daripada 25,632 orang responden mahasiswa, seramai 97% memerlukan bantuan, manakala seramai 74% pernah berada dalam situasi tidak berduit untuk makan dan seramai 57%  memperuntukkan hanya RM5 setiap hari untuk belanja makan.

Ini jelas menunjukkan majoriti mahasiswa sedang sengsara dalam menjalani kehidupan di kampus. Antara puncanya adalah kos sara hidup yang tinggi terutama universiti yang terletak di Lembah Klang.

Tambahan pula, kebanyakan daripada mereka adalah yang datang daripada keluarga miskin. Selain daripada meneruskan hidup sebagai pelajar, mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan survival ahli keluarga mereka di kampung.

Oleh itu, separuh atau lebih daripada wang biasiswa dan pinjaman PTPTN dihantar pulang ke kampung. Maka tinggallah sejumlah wang yang amat sedikit untuk mereka berbelanja selama empat hingga ke lima bulan.  

Lebih malang lagi, beberapa universiti bertindak untuk menaikkan beberapa yuran seperti yuran asrama, yuran perpustakaan, yuran bas dan yuran kemasukan seperti mana yang dihadapi oleh mahasiswa UM dan UIAM.

Bagi pihak Kesatuan, kami yakin isu ini merupakan perkara yang serius dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak, kerana ia melibatkan kebajikan mahasiswa yang merupakan pelapis kepimpinan negara negara.

Bagi mengatasi masalah ini, kami mencadangkan beberapa jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh:

1) Menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyenaraikan jumlah mahasiswa seluruh negara yang datang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah di bawah RM3,000. Kategorikan mereka mengikut universiti. Tujuan penggumpulan data ini adalah untuk memudahkan proses bantuan dan penyampaian inisiatif.

2) Pihak kementerian dan pentadbiran universiti juga dicadangkan agar memberikan potongan yuran sebanyak 80%-100% kepada mahasiswa yang datang daripada golongan berpendapatan rendah.

atau

3) Meningkatkan jumlah wang PTPTN yang diberikan setiap semester kepada RM4,000 kepada mereka yang datang daripada golongan berpendapatan rendah.

4) Menggalakkan pihak pentadbiran universiti, MPPK serta MPP universiti untuk membuka peluang pekerjaan kepada mereka. Contohnya sebagai staf sokongan, guru tuisyen, guru mengaji dan banyak lagi.

Segala cadangan ini tidak mungkin tercapai tanpa adanya data yang telus daripada pihak kementerian dan universiti berkenaan kategori pelajar tidak berkemampuan ini.

Tambahan pula, pesanan untuk mahasiswa yang tidak berkemampuan, jangan malu untuk sampaikan masalah anda kepada pihak pentadbiran universiti atau MPP.

Anda juga boleh mendapatkan bantuan melalui beberapa Persatuan Pelajar dan NGO yang menyediakan makanan percuma seperti Suspended Meal dan Coupon For The Needs seperti mana yang diusahakan di UIAM dan UM.  

Akhir sekali, Kesatuan menyeru semua pihak agar mengambil serius mengenai kesusahan mahasiswa dalam meneruskan kehidupan mereka di universiti.

Kami juga menyifatkan rasa kecewa atas respons yang lambat dan tidak matang daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jalan penyelesaian yang diberikan dalam kenyataan media KPT bertarikh 9/1/2016 tidak mencakupi masalah sebenar akan isu ini.

KPT seharusnya mendatangkan penyelesaian jangka panjang seperti meningkatkan jumlah wang pinjaman/biasiswa serta menurunkan harga yuran universiti. Pesanan ikhlas daripada kami, jangan sudah terhantuk baru terngadah, nasi sudah jadi bubur.

Deritamu Deritaku Jua

"Membina Kesatuan, Mengukuh Perjuangan"

AZZAN AZNAN ABDUL RAHIM
Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan) - HARAKAHDAILY 10/1/2016

Share on Myspace