Penempatan mangsa banjir di Gua Musang siap

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Penempatan baru diwujudkan kerajaan negeri bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di Dun Galas akhir 2014 kini sebahagiannya siap sepenuhnya.

Sebelum ini mangsa-mangsa banjir terbabit tinggal di kawasan setinggan milik Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) dan rezab sungai.

Sebanyak 44 rumah kekal siap sepenuhnya di Mukim Simpang Pulai sumbangan Tabung Bencana Negeri yang dibangun di kawasan seluas 15 ekar.

Setiap rumah yang dibina membabitkan kos lebih RM40,000 dijangka dapat diduduki tidak lama lagi. Sekarang hanya jalan dan longkang belum siap sepenuhnya.

Rumah tersebut jenis berkembar dilengkapi tiga bilik tidur, sebuah bilik air dan ruang dapur.

Manakala di Tanah Putih lebih 50 unit rumah jenis sebuah dibina dan 15 daripadanya sudah siap.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang Abdullah Husain berkata rumah kekal di Tanah Putih seluas 800 kaki persegi juga dilengkapi tiga bilik tidur, bilik air dan dapur.

Katanya rumah tersebut dianggar membabitkan kos RM48,000 sebuah termasuk GST.

“Penempatan baru di Tanah Putih diwujudkan kerajaan negeri membabitkan kawasan seluas 53 ekar. Sebanyak 123 unit rumah kekal dirancang dibina di kawasan tersebut.

“Mangsa banjir yang mendapat rumah kekal di situ lebih beruntung kerana setiap lot rumah seluas satu per enam ekar,” katanya di sini.

Projek rumah kekal di Tanah Putih dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Selain itu 16 rumah kekal dibina kerajaan negeri di Kampung Kolam Mas sudah diduduki mangsa banjir dan dua lagi di peringkat akhir pembinaan.

Ketika banjir besar melanda akhir 2014 sebanyak 120 rumah penduduk rosak teruk di Dun Galas.

Baru-baru Harakahdaily.net mendedahkan dua penempatan mangsa banjir di bawah kerajaan pusat di Kuala Krai iaitu di Batu Jong dan Sungai Durian belum dimulakan pembinaan sehingga sekarang.

Malah penempatan di Batu Jong ditumbuhi semak samun, biar pun notis mengarah penduduk yang tinggal di situ berpindah sudah lama dikeluarkan. - HARAKAHDAILY 10/1/2016

Share on Myspace