PAS setuju asalkan Islam setuju

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

BUKAN senang orang nak setuju dengan apa yang kita setuju begitu juga bukan senang kita nak setuju apa yang orang setuju, apatah lagi apabila kita nak bersetuju pada perkara yang sama-sama kita tak setuju.

Abu Lahab cadang kepada Nabi supaya bersetuju dengan cadangannya supaya Nabi SAW menyembah tuhan mereka dan kemudian mereka bersetuju untuk sembah Allah SWT secara bergilir-gilir, tapi Nabi SAW tak setuju sebab Allah SWT tak setuju.

Sebagai orang beriman, kita tak boleh bersetuju semata-mata kerana orang ramai bersetuju, Islam bukan agama ciptaan manusia, ia adalah Kalamullah, maka kita tak boleh bersetuju kepada perkara yang Allah SWT dan Rasulnya tak setuju dan jangan sekali-kali tidak bersetuju dengan apa yang Allah SWT dan Rasulnya bersetuju.

Dasar PAS adalah Islam, semua orang bersetuju dengan itu, parti lain yang pernah bertahaluf dengan PAS pun bersetuju sebab itu mereka sanggup bertahaluf dengan PAS. Maka PAS juga bersetuju bertahaluf dengan mereka atas dasar mereka sedia bersetuju untuk tidak bersetuju.

Mereka tak setuju dengan dasar PAS, tetapi mereka mesti bersetuju untuk PAS melaksanakan dasarnya sebagaimana PAS perlu bersetuju untuk mereka laksanakan dasar partinya walaupun PAS tidak bersetuju dengan dasarnya.

Bertahaluflah dengan sesiapa sahaja, dan bersetujulah dengan apa jua perkara yang dipersetujui, asalkan perkara yang persetujui itu tidak melibatkan sesuatu perkara yang tidak dipersetujui oleh Islam.

Bagi PAS kalau Islam setuju PAS akan setuju begitulah juga sebaliknya walaupun ada orang setuju.

Tak mengapa kalau orang tidak bersetuju dengan PAS dengan sebab PAS tidak setuju dengan apa yang Allah SWT tak setuju. PAS bukan ditubuhkan untuk jadi Parti yang bersetuju dengan semua manusia yang bersetuju tapi PAS adalah parti yang ditubuhkan kerana bersetuju dengan Islam.

PAS tak boleh nak bersetuju dalam semua perkara, kerana PAS ada dasarnya tersendiri, dasar PAS tak sama dengan dasar parti lain, jika orang setuju dengan dasar PAS mesti orang tu masuk PAS, orang yang tak setuju, mesti masuk parti lain.

PAS setuju kalau orang parti lain tak setuju dengan PAS, tapi mereka kena setuju bahawa PAS mesti laksanakan dasarnya, setiap parti bawa dasar masing-masing, tapi mesti bersetuju bahawa tidak semua perkara kita akan bersetuju.

Dasar PAS ialah al-Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias, PAS boleh bersetuju atas titik kebersamaan yang dipersetujui Islam, kalau tak boleh terima itu, ertinya kena bersetuju bahawa antara kita tiadalah titik persetujuan, kalau nak terima PAS kena lah 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.- HARAKAHDAILY 11/1/2016

Share on Myspace