Pusat diminta timbang permohonan Kias

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sebelum ini permohonan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dinaik taraf kepada kolej universiti dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu dijelaskan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob ketika berkunjung ke Sri Perdana di Putrajaya sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berharap kementerian berkaitan mempertimbang permohonan Kias.

“Ini memandangkan syarat ditetapkan telah dipenuhi Kias. Kias menghantar permohonan itu sejak 2010.

“Selepas memenuhi kriteria ditetapkan, kementerian menghantar pula kriteria baru sebagai syarat tambahan. Kias juga berusaha memenuhi syarat baru tersebut,” katanya di sini.

Kias diwujudkan kerajaan negeri sebagai kesinambungan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) yang ditubuh pada 1965.

Bagaimanapun selepas Barisan Nasional mentadbir Kelantan YPTIK diambil alih Universiti Malaya pada 1 April 1981 dan ditukar nama kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Namun selepas PAS kembali mentadbir Kelantan pada 1990, kepimpinan ulama menubuh Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah pada 1994 yang dicetuskan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah dinaik taraf kepada Kias pada 24 Ogos 1999.

Dr Fadzli juga berkata selain Kias, Yayasan Islam Kelantan (Yik) juga mempunyai Pusat Pengajian Pondok di Kandis, Bachok.

Katanya, pelajar lepasan Sijil Menengah Ugama (SMU) atau lepasan pondok yang setaraf dengan SMU layak memohon pusat pengajian itu.

“Pelajar menduduki SPM di Pusat Pengajian Pondok pada tahun pertama, tahun kedua Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) dan tahun ketiga STAM,” katanya.

STUP setaraf dengan diploma. sebelum ini pelajar lepasan sijil berkenaan diterima masuk tahun ketiga Universiti Al Azhar. – HARAKAHDAILY 11/1/2016

Share on Myspace