Terpaksa tahan lapar, kerajaan wajar bertindak

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat melahirkan rasa bimbang dan kesal  terhadap paparan demi paparan di pelbagai media berkaitan pelajar institusi pengajian tinggi yang terpaksa menahan lapar akibat dari kekangan kewangan.

Menurut Pengerusinya Dr Rosni Adam,  apa yang berlaku adalah jelas merupakan suatu bukti kegagalan pihak kerajaan yang diterajui Umno BN mengurus agihan kekayaan negara yang tidak serata.

"Amat mendukacitakan dalam keadaan negara dikurniakan pelbagai sumber kekayaan bumi, ditokok lagi dengan kerakusan kerajaan mengutip cukai barangan dan perkhidmatan yang lebih dikenali sebagai “GST”, kita terus dihamparkan kisah duka anak-anak pelajar di institusi pengajian tinggi," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang menggesa agar langkah segera jangka pendek dan jangka panjang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pihak-pihak berkaitan.

Sebagai tindakan awal, jelasnya, satu tindakan segera mesti diambil untuk memastikan kelangsungan pelajar-pelajar terbabit dalam menamatkan pengajian dengan sempurna.

"Dana awam termasuk dari baitul mal dan pusat pungutan zakat mesti dimanfaatkan agar kejadian sama tidak berulang," katanya.

Justeru, perancangan khusus oleh pihak kerajaan dan institusi pengajian tinggi haruslah diadakan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

"Kebajikan pelajar haruslah menjadi keutamaan pihak pentadbir institusi pengajian tinggi pada masa hadapan dan tidak hanya menumpukan prestej universiti semata-mata," tegas beliau.

Kekangan kewangan ekoran pelbagai kenaikan harga barang yang sedang dihadapi oleh rakyat negara ini termasuklah pelajar di pusat pengajian tinggi yang terpaksa menahan lapar telah menjadi viral di media sosial hari ini. – HARAKAHDAILY 11/1/2016

Share on Myspace