PAS berpotensi menang lima kawasan tambahan

JUHANI RAHMAN | .

KUALA SELANGOR: PAS Selangor mengumumkan akan menambah bilangan kerusi DUN yang pernah ditandingi sebelum ini sekurang-kurangnya lima kawasan.

Pesuruhjaya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu diambil melalui perbincangan di peringkat perhubungan selepas meneliti satu kajian.

"Kita sudah berbincang di peringkat perhubungan, dulu 15 kerusi yang kita menang, lima kerusi belum menang.

"Setakat ini kita sedang mempertimbangkan daripada 20 kerusi, insya-Allah kita akan bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi lagi. Di mana kerusi itu? Tunggu dan lihat," katanya di Ijtimak PAS Selangor di Kuala Selangor.

Beliau menambah, berdasarkan sebuah kajian yang dibuat menunjukkan perkembangan positif apabila PAS berpotensi menang di kawasan terbabit.

Iskandar yang menjangkangkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku lebih awal sekurang-kurangnya pada bulan Mac tahun hadapan meminta para petugas supaya lebih aktif dalam bahagian penerangan.

Naib Presiden PAS itu menggesa supaya petugas merangka strategi dan formula yang mahu ditawarkan kepada pengundi berdasarkan keadaan dan tuntutan setempat.

Katanya, perkembangan politik hari ini dengan penggunaan media sosial yang meluas menyebabkan masyarakat semakin celik isu baik peringkat nasional atau tempatan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan PAS tidak boleh hanya bergantung kepada satu isu seperti dahulu.

"Dulu kita kerja dengan formula sama untuk semua pengundi. Sekarang sudah ada pelbagai segmen masyarakat.

"Sudah tentu formula di kampung dan elit adalah berbeza. Kadang kala kita malas nak fikir, kita guna satu formula untuk semua," katanya.

Beliau itu mengingatkan, jika pendekatan berkempen demikian tidak berubah, tidak mustahil PAS terpaksa menanggung akibat buruk.

"Bukan satu isu boleh digunakan untuk semua orang, ada isu boleh, ada isu kalau kita guna akan makan tuan, makan diri kita sendiri," kata Adun Chempaka itu.

Dalam pada itu, Iskandar turut mengulangi pendirian supaya kekal dalam Kerajaan Negeri Selangor adalah untuk menjaga kesucian agama Islam daripada diganggu-gugat.

"Bukan sebab jawatan tuan-tuan. Kita jaga Islam. Kalau kita tidak berada dalam kerajaan, siapa yang akan jaga Islam?" soalnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2016

Share on Myspace