Zaid jangan hina Mahkamah Syariah

HARAKAHDAILY | .

Kami kesal dengan komen Zaid Ibrahim mengenai isu Indra yang mendapat liputan meluas dalam media terutama The Star.

Sangat dikesali, Zaid sebagai bekas Menteri Undang-undang dan seorang yang dianggap terkenal dalam Majlis Peguam sanggup mengambil pendirian yang jelek apabila menghina para hakim dan sistem kehakiman kerana mereka mengeluarkan keputusan yang tidak disenanginya dan tidak memihak kepada penyokong aliran "liberal". Tanpa sebarang bukti, beliau menuduh para hakim sebagai tidak berperasaan, tiada perikemanusiaan, tiada kasihan belas dan selesa dalam keadaan "mati rasa".

Para hakim dan keputusan mereka di mahkamah bukan golongan yang tidak boleh dikritik dalam sebuah demokrasi akan tetapi ia perlu berdasarkan fakta dan logik. Zaid tidak menyatakan kritikannya dengan hujah yang kukuh ke atas keputusan majoriti hakim dalam kes Indra namun melampiaskan serangan secara menghina dan emosional. Tingkah laku ini tidak sewajarnya ditoleransikan kerana ia menghakiskan keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman negara.

Adalah sangat tidak bertanggungjawab, sangat provokatif dan merbahaya untuk Zaid menuduh dengan batil "Indira tidak mendapat keadilan kerana beliau adalah seorang bukan Muslim". Tuduhan melulu itu hanya menghasut kebencian antara Muslim dan bukan Muslim, menghakiskan keyakinan awam terhadap kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan kerajaan. Mengancam untuk menghasilkan sebuah filem mengenai kes ini untuk merosakkan nama negara di London dan New York adalah suatu penghinaan dan bakal menimbulkan kemarahan masyarakat awam di Malaysia.

Isu teras kepada Mahkamah Rayuan yang dibicarakan bukan mengenai hak penjagaan anak-anak sama ada kepada Indira atau Ridzwan tetapi sema ada mahkamah sivil ada bidangkuasa untuk memutuskan pengislaman anak-anak mereka. Indira memohon "suatu deklarasi bahawa kanak-kanak bawah umur tersebut telah diIslamkan dengan cara tidak mengikut undang-undang".

Hakim Mahkamah Rayuan (HMR) Balia Yusof dan HMR Badariah Sahamid memutuskan “…adalah tanpa sebarang syak bahawa isu semada seorang Muslim itu Muslim atau tidak adalah perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Memutuskan kesahihan keislaman seseorang itu secara ketat adalah suatu hal keagamaan dan ia berada secara khusus dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah".

Hakim berkenaan berdasarkan keputusan mereka kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Agung. Perkara 121(1A) menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara agama yang diperuntukkan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Daripada menghina hakim, sepatutnya Zaid mengkritik, jikapun ada hujah hakim itu sendiri.

HMR Hamid Sultan Abu Backer yang berbeza pendapat dengan 2 HMR yang lain itu, kami kesali kerana beliau tidak dapat melihat kes ini secara menyeluruh. Beliau gagal mengenali hutan apabila memberi tumpuan kepada pohon-pohon. Beliau memberi tumpuan kepada 30 muka surat dari 74 muka surat keseluruhan keputusan bertulis apabila beliau berusha mengenengahkan "Jurispruden Yang Berkait dengan Ketinggian  Parlimen dan Perlembagaan dan Sumpah setia kepada Perlembagaan" (Jurisprudence Relating Parliamentary and Constitutional Supremacy and Constitutional Oath) tanpa mengaitkan isu yang sedang dibicara oleh mahkamah  iaitu sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kesahihan pengislaman kanak-kanak yang berkaitan dengan mengambil kira  Perkara 121 (1A) dan keputusan-keputusan Mahkamah Agung mengenai isu tersebut sebelum ini.

HMR Hamid berpandangan kes ini adalah untuk semakan penghakiman mengenai pendaftaran pengislaman oleh Pendaftar Muallaf yang dikatakan tidak selaras dengan Seksyen  96 dan 106 dalam Pentadbiran Islam (Perak) Enakmen 2004. Mendaftar pengislaman adalah suatu urusan pentadbiran yang boleh dicabar di Mahkamah Syariah dan tidak semestinya di Mahkamah Sivil. Bagaimanapun ini bukan isu utama Mahkamah Rayuan tersebut akan tetapi yang utama adalah kesahihan pengislaman yang memerlukan penggunaan Undang-undang Islam. Hal ini merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Terdapat simpati yang mencurah-curah terhadap Indira. Sememangnya suatu perpisahan keluarga dalam suatu perkahwinan adalah  trauma bagi mereka yang terlibat. Namun begitu, bagaimana pula Ridhwan? Beliau adalah bapa kepada 3 kanak-kanak tersebut. Dua dari mereka dalam penjagaan eksklusif oleh Indra dan keluarganya. Mereka dibesarkan sebagai hindu tanpa persetujuan Ridhwan. Beliau juga telah dinafikan akses untuk berjumpa dengan mereka.

Jika kita mengambil kira pernyataan simpati Zaid kepada Indira, Ridhwan telah dinafikan "hak untuk bersama dengan 2 orang anaknya untuk hidup bersama dan mengasuh mereka - untuk mendakap mereka sebagaimana mana-mana bapa ingin melakukannya..." (the right to be with his two children, to live and care for them – to hug them as other fathers would do…). Apakah perasaan Ridhwan ini tidak perlu dfahami dan mendapat simpati juga? Kenapa beliau perlu diperlihatkan dalam media sebagai seorang yang jahat dan tidak berhati perut? Kenapa  ada double standard dalam kalangan puak “liberal”? Adakah hanya kerana beliau adalah seorang pria dan seorang Muslim?  

Satu pihak yang memeluk Islam setelah berkahwin menimbulkan beberapa isu yang kompleks. Bagaimana ia memberi kesan kepada perkahwinan yang terdahulu, kedudukan agama dan hak penjagaan anak-anak, harta pencarian sepanjang perkahwinan, penyaraan dan lain-lain. Pada pandangan kami mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah bukan forum yang sesuai untuk mengatasi isu-isu tersebut. Contohnya jika tidak ada persetujuan antara ibu bapa mengenai status agama anak-anak mereka, bagaimanakah mahkamah sivil atau mahkamah syariah boleh meleraikan konflik antara mereka.

Pihak kerajaan perlu menubuhkan sebuah komiti khas yang dianggotai oleh pakar, Muslim dan bukan Muslim untuk mengkaji masalah dan menghasilkan cadangan untuk menubuhkan sebuah forum bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan adil.

HMR Hamid Sultan telah mencadangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan. Contohnya, beliau mencadangkan Akta Judikatur Mahkamah untuk mengizinkan Ketua Hakim Syariah sesebuah negeri untuk berada bersama dalam mahkamah sivil bersama dengan dua orang lagi hakim, seorang Muslim dan seorang bukan Muslim, untuk mendengari dan memutuskan kes-kes yang membabitkan Muslim dan bukan Muslim. Ini akan memelihara integriti dan kemerdekaan kedua-dua sistem keadilan yang diamalkan di negara ini dan mengelakkan usaha untuk mencairkan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim). - HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace