Turki sedia cuba selesai krisis Iran-Saudi

HARAKAHDAILY | .

TURKI bersedia untuk cuba menyelesaikan perbezaan antara Arab Saudi dan Iran, kata Menteri Luar Negeri Mevlut Cavusoglu, semalam.

"Turki bersedia melakukan segala usaha untuk memperbaiki masalah antara kedua-dua negara dalam menghadapi ketegangan yang mempunyai potensi untuk mendalami masalah yang ada di kawasan kami," kata Cavusoglu pada persidangan duta besar di Ankara.

"Yang diperlukan saat ini adalah perdamaian dan kerjasama, bukan konflik baru," ujar Cavusoglu, Anadolu Agency melaporkan.

Perselisihan antara pesaing serantau itu meningkat lebih dari seminggu yang lalu apabila Arab Saudi mengeksekusi tokoh Syiah sehingga mencetuskan protes di Iran yang menyebabkan penyerbuan kedutaan Saudi di Teheran.

Cavusoglu mengatakan Turki sedang bekerja untuk memperbaiki hubungan dengan Iran namun mencatat Ankara dan Teheran melihat isu-isu serantau dari perspektif yang berbeza.

Turki sendiri mempunyai hubungan rapat dengan Arab Saudi, di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan berkunjung ke negara itu tidak lama sebelum tercetusnya permusuhan diplomatik Saudi-Iran.

Cavusoglu mendorong Iran untuk mengikuti dasar yang lebih konstruktif khususnya di Syria di mana Teheran menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad. [Islampos]

Share on Myspace