Daerah Muallim mercu kecintaan ilmu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Perak menjunjung kasih merafak syukur atas  pengisytiharan Daerah Muallim yang merupakan daerah pentadbiran ke-11 oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.

Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata pengisytiharan Daerah Muallim yang terdiri daripada tiga mukim iaitu Slim, Ulu Bernam Barat dan Ulu Bernam Timur yang meliputi bandar Tanjung Malim, Slim dan Proton City merupakan satu lambang kecintaan Perak terhadap ilmu dan agama seperti mana namanya.

"Islam amat menitikberatkan ilmu dalam kehidupan sehinggakan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah dalam surah al-Alaq adalah menyentuh berkenaan kepentingan ilmu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ilmu pula tidak boleh dipisahkan dengan pendidik dan pendakwah.

"Melalui kewujudan Daerah Muallim ini diharapkan dapat mengimbangi pembangunan material dengan pembangunan rohani dan modal insan lalu melahirkan lebih ramai golongan pendakwah, pendidik dan intelektual," ujarnya lagi.

Pemuda PAS negeri juga, katanya menjunjung  titah Tuanku Sultan Nazrin yang inginkan rakyat bersama-sama memahami, menghayati dan melaksanakan hasrat membangunkan Perak sebagai negeri yang mencapai tahap sosioekonomi yang baik serta menjayakan hasrat menjadikan Perak sebagai negeri yang aman dan berjaya. - HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace