Selangor, medan sengit dalam PRU14?

ROSLAN SMS | .

DUNIA politik Malaysia semakin rancak kebelakangan ini. Minggu lalu sahaja Konvensyen Pakatan Harapan yang diadakan di Shah Alam jelas telah memperkukuhkan lagi hubungan politik tiga parti iaitu PKR, DAP dan Pan yang berhasrat menonjolkan diri sebagai satu pakatan politik yang baru bagi menghadapi BN.

Jika dahulu dalam PRU 2008 dan 2013, pakatan pembangkang yang diberi nama Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, PAS dan DAP telah hampir menumbangkan BN, kini masa depan pakatan yang baru ini belum pasti kerana ia masih belum diuji.

Tambahan ketiadaan PAS yang merupakan rakan komponan yang paling lama dan berpengalaman dalam politik dengan memiliki kekuatan akar-umbi menjangkau seluruh negara, dijangka memberi kesan terhadap prestasi pakatan yang baru itu.

PAS terang-terang menyatakan mereka tidak sekali-kali akan menjalin sebarang hubungan dengan Pan, parti yang memuatkan bekas pimpinan yang telah mengkhianati perjuangannya. Begitu juga PAS tiada lagi hubungan dengan DAP setelah parti itu menendang keluarnya dari Pakatan Rakyat yang lama.

Kini tinggal PKR sahaja yang PAS pegang dan iktiraf sebagai rakan kerjasama politiknya.

Dengan perkembangan terbaru dalam Pakatan Harapan ini tidaklah diketahui bagaimana nasib dan masa depan PAS bersama PKR?

Setakat ini PKR masih menghargai hubungannya dengan PAS, dan kelangsungan kerajaan negeri di Selangor adalah bukit betapa masing-masing parti perlu-memerlu antara satu dengan yang lain. Jentera kedua-dua parti beroperasi sepenuhnya bagi memastikan kerajaan negeri berjalan sebagaimana yang dikehendaki rakyat. Namun uniknya bagi kerajaan Selangor ini, DAP juga merupakan rakan di dalam kerajaan.

Setakat ini perbedaan politik tidaklah sampai menganggu perjalanan dan kelancaran kerajaan negeri, dan diharapkan begitulah sampai PRU akan datang.

Jika tidak adalah dikhuatiri rakyat akan mempertikaikan amanah yang telah mereka berikan kepada ketiga-tiga parti. Rakyat benci pada BN kerana itu mereka mengangkat dan memberi kepercayaan kepada PR di Selangor. Kiranya konflik dan pertikaian sesama sendiri mendominasi tumpuan masing-masing, tidak mustahil rakyat akan menarik balik kepercayaan mereka.

Janganlah sokongan “solid” pengundi bukan Melayu contohnya dikira sebagai satu lesen besar untuk terus menguasai Selangor, tanpa memperdulikan kesatuan dan perpaduan di dalam kerajaan, kerana ia sesungguhnya tidak kekal dan boleh sahaja berubah.

Dan terbaru dengan penyertaan Pan pula dalam kerajaan, khasnya dengan perlantikkan wakil mereka dalam PBT sebagai ahli-ahli majlis di Selangor, walaupun mereka tiada memenangi sebarang kerusi melainkan yang “dicuri” dari PAS dilihat sebagai membuka ruang bagi konflik tercetus dalam kerajaan khasnya antara wakil PAS dan Pan oleh kerana kedua-dua parti bukan sekadar tiada hubungan tetapi bermusuhan antara satu dengan lain.

Sesungguhnya keputusan membenarkan Pan duduk dalam PBT ini dikira suatu keputusan yang sangat tidak bijak dan bakal menganggu kestabilan politik kerajaan ini.

PAS memang mahu dipinggirkan oleh DAP oleh sebab mereka mensasarkan Pan bangkit menggantikan pengaruh dan peranan PAS walaupun parti itu masih gagal membuktikan kekuatannya dimana-mana negeri pun setakat ini

Kejayaan PAS Selangor menganjurkan ijtimak pilihan rayanya di Kuala Selangor dengan kehadiran “luar biasa” sehari selepas Konvensyen PH itu sewajarnya membuka mata semua pihak khasnya PKR dan DAP betapa PAS masih memiliki kekuatan di negeri ini dan tidak mustahil ia semakin membesar sejak PRU 2013 lalu.

Kehadiran lebih 7,000 jentera pilihan raya PAS seluruh Selangor itu memberi semangat bukan hanya kepada PAS Selangor, yang teruk dilanda serangan oleh Pan sebelum ini, malah kepada ahli-ahli PAS seluruh negara untuk bangkit mempertahankan parti Islam ini dan terus menggerakkan perjuangannya secara besar-besaran terutama setelah DAP bertindak memusuhinya.

Pan bukan ancaman buat PAS sebagaimana ditegaskan oleh Presiden PAS dalam Ijtimak berkenaan. Ia terlalu kecil berbanding kekuatan yang PAS miliki.

PAS khasnya di negeri Selangor malah begitu yakin untuk bukan sekadar bertanding di 20 kerusi DUN sebagaimana yang lepas-lepas, kali ini menurut Pesuruhjayanya Datuk Iskandar Abd Samad PAS akan meningkatkan bilangan sehingga 25 kerusi demi mengemukakan alternatif kepada rakyat Selangor.

Ini bermakna rata-rata jentera pilihan raya PAS seluruh negara sebagaimana di Selangor, sudah bersedia memikul amanah, mengatur langkah menghadapi siapa sahaja yang mengisytiharkan dirinya sebagai seteru politik PAS dalam pilihan raya umum nanti. Sebelum ini seteru tradisi PAS adalah Umno, kini DAP dan Pan berdiri setaraf Umno dan PAS sentiasa bersedia menghadapi sesiapa sahaja.

Dari tindak-tanduk PAS kebelakangan ini ternyata ia masih menghormati PKR dan mengharapkan PKR akan kekal bersamanya melakar lanskap politik yang baru buat Malaysia dalam PRU yang akan datang.

Pendekatan politik matang dan sejahtera PAS dijangka membuka dan menambat hati lebih ramai pengundi rakyat Malaysia khasnya dalam kalangan pengundi Melayu Islam yang merupakan teras pengundi di Malaysia.

Politik matang dan sejahtera ini semakin meyakinkan rakyat akan kebolehan dan kemampuan PAS khasnya apabila PAS telah membuktikan yang dalam aspek dasar dan prinsip Islam ia sekali-kali tidak akan bertolak-ansur ataupun berlunak tidak kiralah sama ada dengan kawan lebih-lebih lagi musuhnya.

PAS dilihat sebagai parti yang isitiqamah dan berprinsip.

Beruntunglah mereka yang mahu berkawan dan berkerjasama dengan PAS. – HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace