PAS dimusuhi kerana perjuangkan Islam

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

GOLONGAN yang menentang Islam telah wujud sejak dulu, dari zaman para Anbiya sehingga zaman Rasulullah SAW dan sehingga kini. Dalam al-Quran pun, Allah SWT telah menjelaskan golongan Yahudi, Nasrani dan Musyrik selama-lamanya akan memusuhi Islam.

Nabi SAW pun pernah bersabda: "Orang yang paling dahsyat ujiannya ialah para Nabi dan orang yang mengikutinya". Musuh itu bukan sahaja daripada kalangan Musyrik tapi daripada kalangan munafiqin yang berwajah Islam juga daripada kalangan mereka yang jahil.

Musuh Islam datang dari segenap penjuru, menceroboh masuk dari setiap arah untuk melemahkan Islam, memuntahkan kejian yang sangat memualkan, sadis dan kesat dan tidak berperi.

Namun semuanya semuanya menjadi ulaman santapan lazat perjuangan Islam. PAS dari awal penubuhannya melalui jalan ini, meluruskan tulang belakangnya di tengah-tengah hentakan fitnah daripada musuh PAS terutama Umno.

PAS tetap jua berjuang dengan pelbagai strategi, 'rotan tak patah walau dilipat' itulah PAS, musuh tak pernah putus asa cuba untuk menghancurkan PAS dan PAS pun tak pernah putus asa menangkis dan melawan musuh.

Siapa sahaja boleh memusuhi PAS, sama ada yang mengisytiharkan diri sebagai musuh, ataupun yang berada di bawah selimut. Buatlah selagi mahu dan mahu, penuhilah kemahuan selagi bernafsu untuk memusnahkan PAS.

Selagi PAS masih mengenggam pada simpulan tali Islam, selagi itulah tidak akan terlucut perjuangan ini dengan sebab orang yang memusuhinya, tali Islam adalah tali Allah SWT, tiada siapa yang boleh memutuskannya, pada tali itulah PAS bergantung.

PAS dimusuhi kerana Islam, tapi kerana Islam jugalah PAS tegar berhadapan dengan musuh, kalau nak bermusuh dengan PAS kerana Islam, ingat! Islam itu sangat mahal harganya, tak mungkin orang sayang kepadanya akan biarkan ia hilang.

PAS itu parti Tarbiyyah, selagi ada Tarbiyyah selagi itu PAS tak rebah, kalau nak rebahkan PAS kena rebahkan dulu ahlinya yang sentiasa ditarbiyyah, selagi ada ahlinya yang sentiasa ditarbiyyah, selagi itulah PAS bangun menentang musuhnya sampai bila-bila.

Siapa sahaja yang isytiharkan untuk memusuhi PAS, PAS pasti menentangnya, silalah! Bermusuh dengan PAS, sehingga mati sebagai musuh ataupun sehingga penat dan datang rasa sia-sia memusuhi PAS. – HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace