Ratu cantik: Banyak cara lain promosi pelancongan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Melaka mempersoal penganjuran program kerajaan negeri  yang menghadirkan seramai 52 ratu cantik dunia kononya untuk menarik sekor pelancongan di negeri itu.

Ketuanya, Kintan Man berkata, tindakan kerajaan negeri itu dilihat seolah-olah mengiktiraf pertandingan ratu cantik yang secara jelas ia mengeksploitasi maruah wanita sekali gus melanggar syariat Allah.

Bahkan katanya, banyak lagi usaha yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri bagi memperomosi pelancongan di Melaka bagi melestarikan pendapatan negeri.

"Misalnya, menaiktarafkan tempat-tempat menarik yang ada potensi untuk dijadikan pusat pelancongan, selain mempromosikan budaya gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu melalui ikon beliau atau personaliti tempatan yang sedang meningkat naik di dalam negara," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru katanya, PAS sejak dahulu lagi mendokong dasar Islam yang sentiasa mengangkat martabat dan maruah wanita.

"PAS Melaka melalui Dewan Muslimat menyatakan kesediaan serta kemampuan untuk mentadbir negeri Melaka sesuai dengan lunas-lunas Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS FASAL 5 (1)  yang jelas menyebut, memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah," katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sektor pelancongan Melaka mampu mendapat manfaat besar terutama dalam limpahan publisiti menerusi kunjungan ratu cantik dari seluruh dunia.

Katanya, pendekatan bijak mempromosi pelancongan negeri menerusi pertandingan ratu cantik berupaya meletakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan berjenama besar.

"Usah melihat pertandingan ini semata-mata sebagai mencolok mata, sebaliknya perlu melihat dalam konteks semangat sebenar untuk memajukan negeri Melaka.

"Langkah bijak mempromosi Melaka membawa limpahan rezeki terutama dalam sektor pelancongan iaitu ratu cantik ini akan membantu mempromosi Melaka di negara mereka," katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace