Sejarah: Bentuk JK tapis calon PAS atasi isu khianat parti

HARAKAHDAILY | .

JAWATANKUASA PENAPIS CALON PAS DIBENTUK UNTUK MENGATASI ISU KHIANAT PARTI (12 JANUARI 1969)

PADA hari ini dalam tahun 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Menapis dan Menetapkan Calon-calon PAS yang diberi tanggungjawab "untuk menetapkan calon-calon yang akan bertanding itu secara muktamad." Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Datuk Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS, selain turut dianggotai oleh Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Mohd Taha Kalu, Ustaz Yusof Rawa, Ustaz Amaluddin Darus, Abdullah Akin dan Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah.

Pembentukan Jawatankuasa ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama, untuk membolehkan PAS memilih calon-calon berwibawa dan bertanding di tempat selamat di Kelantan dan Terengganu bagi menghantar wakil-wakil yang berkesan di Dewan Rakyat. Kedua, untuk meneliti latar belakang calon-calon yang benar-benar bersih bagi mengelakkan pengkhianatan ke atas parti oleh wakil rakyat.

Isu keberkesanan wakil rakyat PAS di Parlimen telah mendapat perhatian Jawatankuasa Agung PAS kerana ada wakil rakyat yang gagal berfungsi dengan berkesan, sehingga PAS perlu memilih pemimpin terbaiknya untuk dicalonkan di Kelantan atau Terengganu seterusnya menjadi wakil rakyat yang berkesan di Dewan Rakyat.

Sebenarnya, semenjak Ogos 1968, PAS berhadapan dengan isu pengkhianatan wakil rakyat yang hampir menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan setelah beberapa Adunnya 'menjual' kerusi mereka. Akibatnya, Umno hampir-hampir dapat membuat usul undi tidak percaya di Dun Kelantan pada 20 Ogos 1968.

Empat Adun - Abdul Rahman Mohd Salleh, Omar Mohammad, Yusof Latif dan Abdullah Yusof - telah keluar PAS, bersama seorang lagi Adun, Saufi Idris pada 18 Ogos 1968. Tetapi tiga Adun kecuali Abdullah Yusof dan Saufi Idris telah menyertai semula PAS dalam peristiwa Turn about - About turn.

Kerana adanya isu ketidakberkesanan wakil rakyat dan pengkhianatan wakil rakyat ini, pada 12 Januari 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Menapis dan Menetapkan Calon-calon PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1969.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace