Selangor proaktif tangani bekalan air akibat El Nino

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor sentiasa proaktif dalam menangani masalah bekalan air terutamanya bagi menghadapi musim kering akibat fenomena El Nino ketika ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Amin Ahmad Ahya berkata pihaknya sentiasa berbincang dan melihat perkara itu dari masa ke semasa untuk mengelakkan catuan air seperti sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai projek mitigasi antaranya projek Labuhan Dagang yang boleh mengatasi masalah bekalan air di negeri itu, lapor Selangor Kini.

“Tidak ada jaminan dan saya tidak boleh bagi jaminan catuan air. Namun, buat masa ini bekalan air mencukupi untuk penduduk Lembah Klang.

“Kita mempunyai jawatankuasa untuk melihat keadaan keperluan air di negeri Selangor setiap hari. Buat masa ini keperluan air masih mencukupi.

“Buat masa ini kita gunakan kolam yang ada di Kuala Selangor untuk bekalkan air mentah untuk diproses,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sistem E-Pelelong, di Ballroom Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek Mitigasi 2 dibina bagi mengelakkan krisis bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Projek itu membabitkan pembinaan dua loji rawatan air di Labuhan Dagang, Kuala Langat dan Semenyih 2 bagi menampung permintaan pihak industri dan pengguna domestik.

Share on Myspace