Malapetaka: Pakatan Harapan tunduk kepada DAP?

AHMAD AMZAD HASHIM | .

GAYA politik cauvinis dan gelojoh DAP yang sentiasa membakar sensitiviti 60 peratus rakyat negara ini yang beragama Islam tidak akan menyumbang apa-apa dalam membina hubungan antara kaum yang lebih baik.

Ia telah melebarkan jurang polarisasi kaum apabila kesemua yang berkait DAP dilihat mewakili cita cita politik kaum cina.

DAP menjadi punca prasangka yang tidak sepatutnya kepada kaum-kaum lain yang sepatutnya boleh hidup aman dan saling menghormati.

Mereka mahu memaksakan fahaman sosialis dan liberal mereka kepada umat Islam yang majoriti dalam negara ini dikala PAS yang memperjuangkan Islam pun tahu menghomati hak bukan Islam dengan mengecualikan sepenuhnya bukan Islam daripan tertakluk kepada kanun jenayah syariah yang sedang diperjuangkan di Kelantan.

Desakan DAP sebagai parti paling berkuasa dalam Pakatan Harapan akhirnya menundukkan semua parti komponennya PKR dan PAN agar menolak dari menyokong perjuangan undang undang syariah.

Dalam masa yang sama Pakatan Harapan tidak akan berani mencabar perjuangan 'malaysian malaysia' DAP yang bercirikan rebel serta menyanggah terhadap kedudukan perkara yang sensitif dalam Islam, institusi raja Melayu dan kepentingan orang Melayu.

Isu arak, judi, pakaian sopan, kuasa Sultan, kedudukan mahkamah syariah, kuota bumiputera akan dimainkan rentak mengikut kemahuan DAP.

Umno pula yang telah terlalu lama membuat rosak dalam negara mula ditinggalkan orang orang Melayu yang kini mula menggabungkan diri dalam PAS seperti hasil kaji selidik badan badan bebas yang terbaru.

Dijangka peralihan yang lebih besar akan berlaku dengan tunduknya Umno kepada agenda Amerika melalui TPPA yang akan memangsakan rakyat dan negara lebih jauh lagi.

Kos perubatan akan menekan bilangan yang besar daripada rakyat apabila harga ubat-ubatan dijangka melambung.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerima bencana besar kerana hilang daya saing. Banyak IKS akan gulung tikar. Pekerja hilang pekerjaan.

Industri automatif negara tidak akan mampu bertahan dengan kemasukan kereta asing pada harga yang murah, kualiti yang lebih baik.

Sistem vendor yang menaungi beratus IKS bakal goyah. Satu persatu skandal penyelewengan baru akan terdedah lebih banyak lagi.

Derma ke akaun peribadi perdana menteri RM2.6Billion terus tidak terjawab. Pegawai kerajaan negeri pangkat biasapun mampu sembunyi wang tunai ratusan ribu dalam mesin basuh, apa pula orang politik umno yang berkuasa?

Aset kepentingan negara hatta yang mengeluarkan kuasa elektrik untuk negara diserahkawalan untuk pemilikan asing seperti berlaku pada EDRA yang menjana kuasa eletrik.

Bandar Malaysia dengan dimiliki kepentingan asing tiada lagi ertinya kerana nanti mungkin yang tinggal cuma namanya Malaysia sahaja.

Teruk sangatkah tahap pemikiran rakyat kita sehingga begitu teruk yang dilakukan Umno terhadap negara sehingga menjadi bahan jenaka di pentas antarabangsa, masih lagi rakyat khususnya orang Melayu masih mahu merisikokan masa depan negara dengan masih mahu mempertahankan Umno?

PAS dengan kepimpinan yang tegas berprinsip melalui panduan ulama dan dokongan bilangan yang besar kumpulan profesional yang celik, NGO yang menjadi aktivis dalam pelbagai isu, menjulang aspirasi rakyat telah mengisytiharkan sikap yang berlapang dada dalam sebarang usaha yang baik demi agama, rakyat dan negara.

Mereka yang pernah bersama Umno adalah rakyat juga yang menjadi mangsa organisasi yang korup yang terperangkap dalam kekusutan dan korupsi sistem dalam Umno yang walau cuba puluhan kali dengan retorik transformasi, tetap gagal dan semakin membarah bagai kanser tahap empat.

Oleh itu PAS yang sudah 61 tahun di pentas politik memisahkan diri daripada retorik politik bersandar persepsi yang direka-reka, politik bermain dengan emosi dan kegelisahan. Politik sarkas yang sarat dengan gimik yang tidak bermanfaat.

Politik matang dan sejahtera PAS menuntut pendekatan yang berasaskan kebenaran, rujukan kepada sumber hukum yang tertinggi daripada Tuhan, mementingkan perdamaian dalam mencari kerukunan, menambah kawan dan mengenepikan permusuhan, tidak beri ruang kepada pengkhianat dan tingkah laku pengkhianatan, menekankan pendekatan menggerakkan sumber bagi mencari penyelesaian masalah berasaskan Islam.

Matlamatnya menawarkan kehidupan yang sejahtera kepada seluruh rakyat.

Sekalipun kekal sebagai lawan politik kepada Umno dan Barisan Nasional, PAS menolak permusuhan yang bagai hilang akal sehingga sanggup merisikokan kedudukan Islam dan kepentingan orang melayu dengan memberi ruang pihak lain menangguk di air yang keruh.

PAS tidak boleh menggabungkan diri dengan Umno atau Barisan Nasional yang terpalit dosa penyelewengan, kezaliman dan khianat yang begitu banyak kerana dasar Islam PAS tidak membenarkan pendekatan begitu yang bagai memberi nafas baru kepada Umno untuk terus kekal dengan kejahatannya.

Akan tetapi bagi memaku mati pendekatan ini, rakyat hendaklah perlu bersama PAS menjayakan perubahan ini dan menolak penangguk air keruh yang hanya memikirkan manfaat kuasa jangka pendek, yang tidak mungkin dapat dipertahankan dengan realiti susunan masyarakat majmuk kita yang 62% muslim, 19.8% Budha, 9% Kristian, 7% Hindu.

Memberi laluan kepada Pakatan Harapan yang tunduk kepada DAP adalah satu malapetaka yang perlu dielak kerana ia tidak akan stabil. Akan berlaku lebih banyak kegelisahan kemudian hari.

PAS perlu menjadi teras. Jika kita boleh pertahankan Pakatan Rakyat tanpa DAP, jadikan ia benar benar gerakan rakyat, NGO rakyat termasuk Kongres Rakyat yang telah terhimpun dalamnya lebih 200. NGO, pelbagai pihak lain yang sudah hilang percaya dalam MCA, MIC, GERAKAN, DAP, parti parti politik lain yang bagai melukut tepi gantang di dalam BN.

PAS melalui tempoh enam bulan lepas muktamar dari imej 'diperkudakan' sehingga kini begitu berubah sekali hingga ditohmah orang 'memperkudakan' pula. Enam bulan dari begitu lemah, tiba tiba dilihat bertenaga.

Menjelang PRU14, mungkin ditahun 2018, kita masih ada dua tahun membina kekuatan, jika kita terus bersatu dan bergerak bersama, insya-Allah perubahan besar dalam politik negara.

Enam bulan kita mencapai peningkatan sebegitu. Baki dua tahun, insya-Allah moga Allah kurniakan lebih lagi.

Kita bina Malaysia yang sejahtera untuk semua. – HARAKAHDAILY 12/1/2015

Share on Myspace