Isu Bauksit: Adakan sidang khas Dun Pahang

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: PAS Pahang mendesak diadakan sindang khas Dun Pahang bagi menjawab segala persoalan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, memandangkan isu perlombongan bauksit telah menjadi tajuk perbincangan hangat orang ramai termasuk ahli akademik, NGO dan media maka menjadi satu keperluan bagi kerajaan negeri menjawab segala persoalan yang dibangkitkan dengan baik serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Menurutnya, banyak pihak telah tampil dengan pelbagai pandangan terutamanya mengenai tahap pencemaran yang amat membimbangkan, sehingga keluar kenyataan daripada Menteri Kesihatan sendiri yang menasihatkan orang ramai di Kuantan khususnya tidak memakan ikan yang datang dari sungai sekitar Kuantan.

“Ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan orang ramai di Kuantan khasnya.

“Saya minta supaya satu sidang dewan khas diadakan bagi membolehkan pihak kerajaan menjelaskan kepada semua wakil rakyat tentang keadaan semasa berdasarkan hasil kajian dan analisis daripada pihak kerajaan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang.

Di samping itu, semua wakil rakyat boleh memberikan pandangan, berbincang dan berbahas tentang apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan perkara serupa berulang apabila aktiviti perlombongan bauksit dijalankan semula.

Katanya lagi di dalam sidang dewan khas ini juga membolehkan pihak kerajaan menjelaskan apakah tindakan yang bakal diambil semasa tempoh moratorium ini berjalan, agensi dan pihak manakah yang bertanggungjawab menjalankan kajian keberkesanan prosedur baharu yang bakal dibuat.

“Semua perkara ini penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap cara kerajaan negeri mengendalikan aktiviti berkaitan dengan perlombongan bauksit ini,” kata Andansura yang juga Adun Beserah. – HARAKAHDAILY 12/1/2016

Share on Myspace