Ekonomi merudum Najib masih tidak mengaku kalah

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Datuk Seri Najib Razak masih tidak mengalah, tetap mengatakan bahawa ekonomi merudum kerana faktor luar, bukan faktor kelemahan kepimpinan  beliau dan kerajaan BN.

Saya harap Najib cakap penuh dengan kesedaran, bukan igauan. Beliau mengatakan faktor luar  seperti harga minyak dunia jatuh, kenaikan faedah Amerika Syarikat, kelembapan ekonomi China.

Kita tidak nafikan faktor luar mempengaruhi kedudukan ekonomi dunia mempengaruhi kedudukan ekonomi dalam negara kita.

Persoalannya kenapa ekonomi serantau  yang berdekatan tidak seteruk apa yang dialami negara ini. Jangan banding dengan Singapura dan Brunei, bandinglah dengan Thailand dan Indonesia, kedua-dua negara ini sudah memotong Malaysia.

Jika ekonomi domestik dan kekuatan rezab kita kukuh sudah tentu tidak jadi macam ini. Najib kena muhasabah kenapa imbangan dagangan antara import dan eksport tidak berlaku.

Bagaimana kekuatan bursa saham, adakah pelaburnya daripada luar atau dalam. Isu 1MDB yang masih tidak meyakinkan kenapa 1MDB diwujudkan. Apa yang 1MDB berniaga? Adakah 1MDB  boleh menjanakan pendapatan negara?

Jika aktiviti 1MDB hanya sekadar pinjam RM42 bilion, kemudian hendak bayar dengan jual aset, rakyat yang tidak sekolah pun pandai berniaga. Isu wang RM2.6 bilion menjadi misteri siapa pendermanya. Semua ini menghantui orang luar untuk melabur.

Najib juga cakap melawak, permintaan getah kurang kerana permintaan kenderaan kurang. Harga getah sudah lama jatuh, banding dengan Thailand.

Di Malaysia harga getah sekerap RM2.20 sekilo sedangkan di Thailand RM4.30. Bukan soal permintaan tayar kenderaan menjadikan harga getah turun.

Ketika harga petrol USD100 setong pun hutang berlungguk. Cuba bayangkan ketika harga minyak  hanya USD33 setong.  Jika dulu boleh menyumbang RM64 bilion setahun sekarang sudah menguncup RM32 bilion melalui dividen Petronas.

Kenapa Najib dan kepimpinan BN tidak merasa bersalah, sebaliknya masih menuding jari ke pihak lain. Apa salah satu tindakan drastik dengan mengurangkan saiz kabinet. Kurangkan lantikan politik seperti penasihat  wanita, penyelaras Persekutuan di Selangor, duta khas ke India, batalkan kontrak yang tidak boleh memberi kebaikan untuk rakyat. Kurangkan lawatan ke luar negara, dengan mengkaji faedah kos adakah untung atau rugi. SPRM mesti diperkasakan supaya boleh bertindak ke atas jerung-jerung yang membawa bawa keluar negara secara haram.

Jangan pula cadang pada rakyat idea-idea yang menyakitkan hati untuk didengari seperti bawa bekal ke pejabat, buat dua kerja sehari, keluar pagi-pagi untuk elak laluan tol, jangan guna jalan bertol, jangan makan ayam kalau ayam mahal, kalau tidak suka boleh hijrah dari Malaysia.

Kalau idea seperti begini elok BN tidak perlu jadi kerajaan. - HARAKAHDAILY 12/1/2016

Penulis ialah Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Share on Myspace