TPPA boleh jejas kuasa kerajaan negeri

HARAKAHDAILY | .

Kongres Rakyat menegaskan bahawa wujud risiko yang bakal dihadapi oleh kerajaan negeri jika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dimeterai. Implikasi yang bakal dihadapi oleh kerajaan negeri adalah besar kerana TPPA sememangnya mengikat kuasa kerajaan negeri walaupun yang akan menandatangani TPPA adalah kerajaan pusat.

Walaupun perdagangan antarabangsa pada dasarnya adalah bidangkuasa kerajaan pusat, namun semua syarat pewartaan guna tanah, eksploitasi sumber bumi, perancangan pembangunan lokal dan pelesenan adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Setiap kerajaan negeri mempunyai keutamaan pembangunan masing-masing mengikut apa yang diluluskan oleh Majlis Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.

Kami mendapati dalam bab pelaburan, perjanjian perdagangan bebas sering mengaitkan semua peringkat kerajaan sesebuah negara seperti kerajaan negeri atau provinsi, kerajaan tempatan, mahupun perbandaran. Bermakna sebarang dasar dan peraturan kerajaan negeri untuk kini dan masa depan akan terkesan oleh TPPA. Kerajaan negeri tidak boleh, atas pertimbangan sendiri, menguatkuasakan sesebuah perundangan atau peraturan yang bercanggah dengan apa yang ditetapkan dalam TPPA.

Secara eksplisit kerajaan negeri juga memang terikat dengan TPPA: semua negara TPPA telah bersetuju bahawa semua peringkat kerajaan dalam semua negara TPPA akan terikat dalam bab Pelaburan. Ini bermakna semua peraturan (measures) atau undang-undang sedia ada mahupun yang baru yang akan digubal oleh kerajaan negeri boleh dicabar mengikut bab Pelaburan dalam perjanjian TPPA ("measure" atau peraturan TPPA ditafsir secara terbuka yang memasukkan erti undang-undang, peraturan, prosedur, syarat atau praktis)

TPPA mengecualikan secara automatik peraturan kerajaan negeri atau tempatan yang sedia ada hanya dalam beberapa peruntukan sahaja dalam bab Pelaburan, termasuk akses pasaran. Jadi jika kerajaan negeri contohnya mempunyai peraturan mengharamkan penjualan atau kedai arak, ia boleh meneruskan peraturan itu.

Bagaimanapun, apabila TPPA dimeterai, kuasa kerajaan negeri akan menjadi terhad untuk mewujudkan sebarang peraturan baru yang mungkin hendak digubal dimasa depan mengenai sesuatu sektor (contohnya agar kawalan lebih ketat). Jika hal ini hendak dikecualikan ia perlu melalui persetujuan oleh semua negara anggota TPPA. Bermakna tidak ada pengecualian secara automatik untuk kerajaan negeri kecuali ia telah dirundingi dan dipersetujui.

TPPA tidak membenarkan kerajaan pusat atau negeri untuk mengambialih harta syarikat pelabur swasta (expropriation)  atau melanggar syarat layanan adil dan saksama (fair and equittable treatment) untuk pelabur dari mana-mana negara TPPA. Peruntukan ini adalah yang paling bermasalah dalam bab Pelaburan TPPA.

Dalam TPPA, mana-mana pelabur boleh saman kerajaan yang menerima pelaburan, melalui mekanisme ISDS (tribunal penyelesaian perselisihan antara pelabur dan kerajaan) dan tuntutan saman boleh mencecah berbilion USD. Bukan sahaja jika kerajaan kalah terpaksa membayar saman malah juga perlu membayar faedah pada kadar komersial.

Yuran guaman untuk khidmat undang-undang boleh mencecah USD1,000 sejam. Pengalaman perit Filipina yang telah mengeluarkan USD$58 juta menpertahankan dirinya dari saman sebuah pelabur dan Australia telah berbelanja USD$37 juta melawan saman syarikat rokok Philip Morris, sepatutnya diambil pengajaran oleh kerajaan Malaysia.

Satu kajian menemukan bahawa walaupun ada kerajaan yang menang dalam ISDS namun ia terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi. Terdapat juga kerajaan terpaksa menarik semula undang-undang yang ingin diluluskan kerana tidak mampu membayar kos untuk diheret ke tribunal oleh pelabur melalui mekanisme ISDS seperti yang berlaku kepada Uruguay dan Kanada yang mahu menguatkuasakan peraturan mengenai rokok.

Jika kerajaan mengambilalih harta syarikat swasta dari mana-mana negara pelabur TPPA (expropriation) termasuk secara tidak langsung, maka  pampasan perlu dibayar  mengikut peraturan TPPA.

Oleh kerana kerajaan pusat yang menandatangani TPPA, maka kerajaan pusatlah yang akan disaman di bawah ISDS dan perlu membayar semua kos pembicaraan dan jumlah saman, jika kalah, walaupun punca pelanggaran peruntukkan TPPA itu adalah kerajaan negeri. Terpulang kepada perlembagaan negara sama ada wang itu perlu dituntut semula dari kerajaan negeri atau tidak.

Kerajaan negeri yang tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum terikat kepada bab Pelaburan dalam TPPA dan tidak merestui untuk terikat dengan TPPA yang ditandatangani oleh kerajaan pusat  akan menghadapi masalah. Perselisihan akan berlaku antara kerajaan negeri dan pusat jika kerajaan negeri mahu mewujudkan peraturan baru yang melanggar TPPA.

Sebab itu semua ahli parlimen di peringkat negeri di AS mendesak supaya mekanisme ISDS ditolak. Mereka mempersoalkan apakah undang-undang dalam ISDS bercanggah dengan perlembagaan negara.

Telah terjadi banyak perselisihan perdagangan yang menyebabkan pelabur dari AS menyaman kerajaan Kanada di peringkat provinsi. Akibatnya timbul isu perlembagaan antara kerajaan pusat dan kerajaan provinsi di Kanada.

Terdapat satu kajian terhadap 162 kes ISDS. Sebanyak 22 kes melibatkan cabaran ke atas kerajaan negeri (termasuk kerajaan tempatan) yang berkaitan dengan peraturan eksekutif. Dari jumlah tersebut 21 kes melibatkan keputusan mengenai perancangan dan keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan.

Antara kes ISDS di mana kerajaan tempatan disaman oleh pelabur dan kerajaan berkenaan terpaksa membayar dengan nilai yang tinggi ialah Mexico. Kerajaan negeri di Mexico mengisytiharkan sebuah fasiliti sisa toksi sebagai sebuah zon ekologi dan telah mengambilalih harta pelabur. Pelabur telah menang dengan mendapat pembayaran USD16 juta oleh kerajaan pusat Mexico. Kerajaan pusat telah menahan peruntukan pembangunan kerajaan negeri tersebut.

Demikian juga kes AbitibiBowater lawan Kanada. Kerajaan tempatan merampas aset AbitibiBowater bila syarikat itu menghentikan operasi kilang kertas dan menyebabkan 800 pekerja hilang pekerjaan. Dalam kes ini melalui ISDS, pelabur telah menang dan mendapat pembayar USD 122 juta.

Perdana Menteri Kanada menyatakan kerajaan pusat akan menekan kerajaan tempatan supaya membayar kembali wang itu kepada kerajaan pusat. Beberapa kes lagi yang dihadapi oleh kerajaan negeri di Kanada melibatkan isu pemberhentian operasi kuari, syarat peraturan membiayai penyelidikan dan pembangunan, penolakkan cadangan pelabur membina terminal kuari dan marina. Semua tuntutan pelabur-pelabur ini melibatkan ratusan juta dolar yang berpunca dari keputusan kerajaaan-kerajaan negeri di Kanada.

Terdapat beberapa negara yang lain yang melibatkan saman pelabur ke atas kerajaan negeri dan perbandaraan seperti Kota Hamburg, Jerman ( kerana menambah peraturan yang ketat terhadap kesan kilang tenaga arang yang memberi kesan kepada sungai, suhu dan bekalan oksigen dalam sungai), Argentina (kegagalan pihak berkuasa tempatan menaikkan tarif air), Kazakhstan (pihak kerajaan tempatan membatal projek residensi dan pindahkan tanah kepada projek arboretum nasional).

Malaysia harus mengambil iktibar dari kes-kes ISDS  yang dialami oleh negara-negara yang menandatangani perjanjian perdagangan bilateral dan multilateral. Kerajaan negeri yang tidak terlibat dengan TPPA tetap akan terikat dengan perjanjian tersebut. Kuasa dan bidangkuasa menentukan polisi pembangunan dan penggunaan sumber asli negeri-negeri akan pasti tidak berada seperti sebelumnya selepas TPPA ditandatangani.

Kuasa kerajaan negeri tidak boleh dinafikan akan terkesan akibat TPPA. Bermakna pelbagai senarai bidang kuasa kerajaan negeri dalam Perlembagaan Persekutuan akan boleh dicabar atas alasan kerajaan pusat sudah menandatangani TPPA.

Sekali lagi kami menuntut supaya kerajaan Malaysia tidak meneruskan penglibatan dalam TPPA demi mempertahankan kedaulatan negara.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
Pengerusi Kongres Rakyat - HARAKAHDAILY 13/1/2016

Share on Myspace