PAS sedia muzakarah dengan Umno dalam isu agama

HARAKAHDAILY | .

PAS SEDIA BERMUZAKARAH DENGAN UMNO DALAM ISU-ISU AGAMA (13 JANUARI 1987)

PADA hari ini dalam tahun 1987, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bahawa beliau telah menegaskan kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno dalam isu-isu keagamaan.

Naib Yang Dipertua Agung PAS itu dilaporkan berkata demikian dalam ceramah pertamanya sejurus pulang dari Amerika Syarikat bersama Cikgu Mustafa Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Isu muzakarah PAS-Umno ini timbul semula selepas isu Debat PAS-Umno pada 1984 ekoran satu forum antara Anwar Ibrahim (Umno) dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (PAS) anjuran MISG di Peoria, Amerika Syarikat pada 24-25 Disember 1986.

Ekoran dari forum ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad berkata, PAS terbuka untuk bermuzakarah dengan Umno jika kedua-dua parti bersedia mengikuti syariat Islam, yang kemudiannya dijawab oleh Dr Mahathir pada 29 Disember 1986 bahawa Umno sedia berkerjasama dengan PAS jika parti Islam mengikuti Islam yang sebenar.

Anwar Ibrahim sendiri dalam forum tersebut melahirkan keazaman untuk menghidupkan semula muzakarah PAS-Umno sebagai lanjutan dari pada forum anjuran MISG tersebut.

Kenyataan Anwar Ibrahim disambut positif oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor pada 2 Januari 1987.

Pada 3 Februari 1987 Pak Yusof Rawa selaku Yang Dipertua Agung PAS telah mendedahkan bahawa Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 Januari 1987 telah bersetuju menyertai muzakarah tersebut, sedangkan Majlis Tertinggi Umno turut bersetuju pada 7 Februari 1987.

Pada pandangan PAS, muzakarah ini dipersetujui kerana umat Islam di negara ini sedang mengalami perpecahan yang serius dan PAS sebagai gerakan Islam bertanggungjawab ke arah perpaduan ummah.

PAS bersikap positif dalam menangani gejala perpecahan selepas tragedi Memali pada akhir 1985.

Laporan tentang kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi pada 13 Januari 1987 tentang kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno ini adalah bertolak daripada keyakinan PAS bahawa mereka boleh mengendalikan muzakarah ini bagi membawa Umno ke landasan yang betul mengikut syariat Islam.

Hal ini dipertegaskan oleh Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada Muktamar Tahunan PAS, 11-12 April 1987.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 13/1/2016

Share on Myspace