Pemuda PAS Perak saran azan di stadium

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Pemuda PAS Perak mencadangkan agar setiap kali perlawanan diadakan di stadium dilaungkan azan Maghrib sebagai peringatan bersama.

Demikian saranan Ketua Pemuda PAS Perak, Akmal Kamaruddin ketika pertemuan bersama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Shahrul Zaman Yahaya di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, semalam.

"Penyokong datang awal ke stadium, perlawanan belum bermula, adalah lebih baik dilaungkan seruan azan menggunakan pembesar suara stadium sebagai syiar dakwah, sekurang-kurangnya ada sedikit usaha kita untuk memberi peringatan berkaitan solat Maghrib," kata Akmal.

Katanya, usaha untuk setiap penyokong menunaikan kewajipan itu adalah akhlak muslim bahkan menjadi contoh untuk diikuti dalam siri perlawanan bola sepak.

"Pemuda PAS Perak sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak Perak dan memberi sokongan terbaik.

"Sukan bola sepak menjadi salah satu saluran yang mampu menghimpunkan anak muda tanpa dibatasi fahaman politik dan ideologi.

"Pemuda Perak optimis, di bawah seliaan pengurusan yang baru ini dapat menatijahkan hasil terbaik kepada seluruh penyokong bola sepak Perak," ujar beliau.

Perkongsian pengalaman sejarah perkembangan bola sepak tanah air dikongsi bersama sepanjang pertemuan itu.

Shahrul yang juga pengurus bola sepak Perak, berkata dalam menguruskan skuad bola sepak Perak kali ini adalah memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada jurulatih untuk membina kerjasama antara pemain di samping kefahaman setiakawan dalam pasukan.

Katanya, pihak pengurusan tidak akan mencampuri setiap ketetapan daripada jurulatih sebaliknya memantau keperluan yang diperlukan oleh pemain.

Beliau mengucapkan terima kasih atas kunjungan Pemuda PAS negeri di atas sokongan dan cadangan-cadangan yang diberikan demi melihat kehebatan skuad bola sepak Perak terus dipertingkatkan.

Turut serta dalam pertemuan tersebut, Setiausaha dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Qahar Syams dan Mohd Zawawi Abu Hassan. - HARAKAHDAILY 13/1/2016

Share on Myspace