Kerjasama pengguna bantu atasi masalah air di S’gor

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pengguna supaya mengurangkan perkapita penggunaan air bagi setiap isi rumah berikutan Fenomena El Nino dijangka akan melanda negara bermula Januari sehingga Mac tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian, dan Industri Asas Tani negeri Selangor Zaidy Abdul Talib berkata, berdasarkan rekod, penggunaan air perkapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

"Ini adalah juga salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan bekalan air di pihak pengguna. Dengan adanya kerjasama pengguna ini, Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa bekalan air di Selangor dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan," katanya kepada Harakahdaily.

Kerajaan negeri Selangor bersedia dengan beberapa langkah mitigasi untuk menghadapai kekurangan taburan hujan sehingga 60% yang akan mengakibatkan kesan musim kering yang akan melanda.

Katanya, beberapa inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air serta kesediaan sumber air seperti melaksanakan operasi pembenihan awan (cloud seeding) seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lepas di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air.

Katanya, pelaksanaan operasi bagi tahun 2016 akan bermula dalam masa yang terdekat. termasuklah meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air tersebut.

"Operasi pengepaman telah bermula pada 8 Januari yang lalu dengan jumlah pengeluaran sebanyak 200 juta liter sehari (JLH). Jumlah pengeluaran ini akan ditingkatkan lagi dengan berfasa daripada 10 kolam yang digunakan," ujarnya.

Sehingga 12 Januari 2016, kapasiti takungan semua empangan Negeri Selangor berada di dalam keadaan baik melebihi paras 70%.

Berikut adalah status semasa kapasiti ketujuh-tujuh empangan Negeri sehingga 12 Januari 2016;

Empangan Sg. Selangor : 100%, Empangan Sg. Tinggi : 91.03%, Empangan Sg. Semenyih : 99.70%, Empangan Sg. Langat : 74%, Empangan Batu : 92.58%, Empangan Klang Gates : 98.52% dan Empangan Tasik Subang : 99.58%

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri Selangor yakin dengan keupayaan takungan empangan untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi sepanjang musim kering yang bermula pada bulan Januari ini.

Kapasiti empangan terkini menunjukkan paras yang lebih tinggi berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas.

Contohnya pada 12 Januari 2015, paras Empangan Sungai Selangor mencatatkan bacaan pada 75.86% berbanding pada tarikh yang sama tahun ini berkapasiti penuh 100%.

Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi adalah merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Negeri Selangor iaitu meliputi 60% daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. – HARAKAHDAILY 13/1/2016

Share on Myspace