Pelajar perubatan hutang universiti lebih RM100,000

SALMAH MAT HUSAIN | .

BESUT: Pelajar perubatan tahun akhir Universiti Zagaziq Mesir, Nor Atiqah Mamat, 25, memohon sumbangan orang ramai bagi membayar yuran pengajiannya yang tertunggak lebih RM100,000.

Bapanya Mamat Zakaria, 50, berkata anaknya menduduki peperiksaan tahun akhir semalam dan dijangka pulang ke kampung tidak lama lagi.

Oleh itu beliau berharap mana-mana pihak membantu anaknya bagi menyelesaikan hutang tersebut sebelum pulang ke tanah air.

“Hutang terbabit perlu dibayar bagi membolehkan Nor Atikah mendapat ijazah perubatan.

“Sebelum ini saya bayar sendiri yuran pengajian anak pada tahun satu dan dua. Semasa tahun tiga Nor Atiqah mendapat pinjaman Yayasan Terengganu sebanyak RM27,000.

“Bagaimanapun selepas bersara sebagai tentera saya tidak lagi mampu membayar yurannya,” kata beliau di sini.

Beliau yang tinggal di Kampung Pasir Badak, Jertih berkata Nor Atiqah mendapat tawaran belajar di universiti berkenaan pada 2008.

Katanya yuran tidak dapat dijelaskan kepada universiti sejak tiga tahun lepas kerana masalah kewangan.  

Purata kos pengajian yang terpaksa ditanggungnya lebih RM35,000 setahun. Bebanan kewangan bertambah berikutan mata wang Malaysia jatuh teruk.

Atikah yang merupakan anak sulung daripada lima adik beradik pernah memohon pinjaman daripada Mara bagaimanapun tiada jawapan sehingga sekarang.

Kesusahan dihadapi keluarga Mamat turut mendapat simpati Setiausaha PAS Besut, Saluhidali Jaafar dan bendahari, Shukriman Zakaria apabila turut membantunya.

Orang ramai yang berminat membantu pelajar terbabit boleh hubungi Mamat Zakaria di talian 019-2532484 dan 013-2610367 atau akaun Maybank 105046179128. - HARAKAHDAILY 13/1/2016

Share on Myspace