PAS Wilayah seru ahli kongsi derita bantah TPPA

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menyeru kepada semua ahli dan pendukung parti serta warga Wilayah Persekutuan tanpa mengira agama dan warna kulit hadir secara aman berkongsi penderitaan Bantah TPPA di Dataran Merdeka pada 23 Januari ini bermula jam 2 petang.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad menggesa agar diselamatkan Malaysia daripada imperialisme moden yang menjarah dan menggari tangan dan kaki kedaulatan rakyat negara ini.

"Hulurkan tangan anda menjadi benteng negara daripada taufan kemusnahan yang bakal dikocak dan digoncangkan oleh TPPA ke atas akar umbi industri tempatan yang menjadi kebanggaan kita selama ini.

"Eratkan saf dan bahu kita menjadi tembok penghalang kemaraan ideologi cengkaman gergasi penjajah dunia yang ingin merampas kemuliaan keizzahan yang telah kita miliki," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mahu memastikan genggaman kita padu meyelamatkan masa depan agama dan negara yang bakal diteruskan oleh generasi anak cucu yang bakal mewarisi bumi Malaysia pada masa  akan datang. - HARAKAHDAILY 14/1/2016

Share on Myspace