Janji bina masjid baharu 6 tahun berlalu

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Biarpun pilihan raya kecil (PRK) Galas hampir enam tahun berlalu namun janji Umno mahu membina masjid baharu di bandar lama Gua Musang tidak kelihatan sehingga sekarang.

Masjid Razaleigh yang terletak di tepi Sungai Galas masih lagi kekal tidak berubah.

Sedangkan sebelum ini pemimpin Umno Gua Musang acap kali memberitahumendapat peruntukan sebanyak RM3 juta daripada kerajaan pusat bagi membina masjid baharu.

Malah pada 8 Jun 2013 anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, pembinaan masjid baharu bernilai lebih RM3 juta di bandar lama Gua Musang akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya masjid baharu itu merupakan janji Barisan Nasional ketika PRK Galas pada November 2010.

Laporan berkenaan juga menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerah cek RM3 juta ketika melawat lokasi tersebut ketika itu.

Penduduk di sini memberitahu biar pun diuar-uarkan mendapat peruntukan agak besar daripada kerajaan pusat, namun tiada masjid baharu dibina.

Malah kata mereka ketika bah besar melanda akhir 2014, NGO yang datang membantu membaiki masjid tersebut termasuk menyediakan karpet baru dan peralatan lain.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang Abdullah Husain berkata sudah acap kali pemimpin Umno Gua Musang memberitahu mahu membina masjid baharu di bandar lama namun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

“Penduduk melahirkan rasa hairan peruntukan dikatakan sudah diterima tetapi masjid baharu tidak dibina. Ini isu yang dibangkit penduduk sekarang,” katanya di sini.

Kata beliau juga penduduk dan jawatankuasa lama Masjid Razaleigh mendakwa mereka tidak tahu di mana wang RM3 juta yang dikata dilulus sebelum ini.

Beliau juga melahirkan rasa hairan biar pun Masjid Razaleigh yang baharu belum dibina, tiba-tiba diumumkan pula projek masjid lain bernilai RM23 juta di tapak balai polis lama Gua Musang.

Pada akhir Disember lepas Adun Galas Ab Aziz Yusof dilapor memberitahu kerajaan akan membina masjid baharu bernilai RM23 juta, bakal muncul masjid tercantik di Kelantan di tapak balai polis lama. - HARAKAHDAILY 14/1/2016

Share on Myspace