K'jaan tak boleh tandatangani TPPA ikut undi MP BN

HARAKAHDAILY | .

Kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian TPPA berdasarkan keputusan undi ahli parlimen BN

Para pimpinan kerajaan BN tidak seharusnya meletakkan negara pada situasi yang terdedah kepada pengaruh berlebihan pihak asing, terutamanya Amerika Syarikat dan risiko besar terhadap kedaulatan negara dalam keadaan nilai mata wang negara lemah, pendapatan negara menurun kerana kejatuhan harga minyak, pimpinan negara terpalit dengan skandal besar, hutang negara yang semakin membesar dan kos sara hidup yang semakin mencekik leher dengan menandatangani perjanjian TPPA.

Antara perkara yang paling dibimbangi di dalam TPPA ialah kos perubatan yang dijangka melambung yang bakal merompak hak rakyat marhaen untuk menikmati perubatan boleh tampung.

Hak rakyat marhaen ini perlu dipelihara dan dipertahan kerana keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit kualiti kehidupan mereka. Jangan kerana TPPA menyebabkan hanya rakyat kaya sahaja mampu menikmati perubatan.

TPPA memberi kelebihan untuk syarikat-syarikat asing untuk menembus pasaran negara-negara TPP. Malangnya negara kita tidak akan menikmati perkara ini malah ia membahayakan ekonomi syarikat tempatan.

Umum mengetahui, Malaysia kekurangan syarikat tempatan yang mempunyai produk atau servis yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Kekurangan ini berserta dengan nilai Ringgit yang rendah menyukarkan syarikat kecil tempatan untuk menyaingi syarikat-syarikat daripada negara lebih maju dari industri yang sama atas faktor modal dan juga kemampuan menggaji pekerja-pekerja tempatan yang pasti lebih terpikat dengan tawaran gaji lebih tinggi oleh syarikat-syarikat dari negara maju yang mempunyai nilai mata wang yang lebih tinggi berbanding Ringgit. Akhirnya, syarikat-syarikat tempatan terpaksa gulung tikar.

Perjanjian TPPA ini secara langsung akan meletakkan Malaysia di dalam blok Amerika dan sekutunya.  Ia bermakna Malaysia akan melepaskan kedaulatannya sebagai sebuah negara bebas yang tidak terikat dengan sebarang blok kuasa utama dunia yang sedang bersaing hebat.

Apakah Malaysia masih bebas bersuara tatkala Amerika dan sekutunya Israel menindas negara-negara Islam seperti Palestin tanpa sebarang risiko dikenakan sekatan ekonomi kerana TPPA selepas ditandatangani nanti?

Himpunan rakyat membantah TPPA pada 23 Januari 2016 nanti adalah sebahagian daripada usaha dan kebimbangan rakyat terhadap sikap pihak kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk menyertai perjanjian tersebut. Himpunan ini bakal merupakan satu desakan kepada kerajaan agar mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat terhadap perjanjian TPPA.

Walaupun perbahasan di parlimen merupakan langkah positif bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parlimen membahas dan menyuarakan padanan mereka terhadap TPPA akhir bulan ini, namun PAS merasakan ia mungkin sekadar lakonan hiasan untuk menunjukkan bahawa kerajaan masih sedia mendengar - walhal para ahli parlimen BN telah diberi arahan untuk mengundi menyertai TPPA dari pihak atasan.

Oleh kerana isu TPPA merupakan isu yang akan meninggalkan kesan besar kepada masa depan dan generasi depan negara, kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian TPPA berdasarkan keputusan 134 ahli parlimen BN yang sudah terbukti bakal bertindak seperti lembu dicucuk hidung.

PAS mencadangkan satu referendum rakyat perlu dibuat bagi kerajaan mendapatkan mandat samada menandatangani perjanjian atau sebaliknya. Dengan referendum ini, rakyat akan lebih jelas implikasi baik buruk keterlibatan negara dalam TPPA ini melalui siri penerangan dan penjelasan semua pihak.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Rabiul Akhir 1437 / 15 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace