Denggi: Kerajaan & rakyat perlu proaktif, bekerjasama

HARAKAHDAILY | .

BILANGAN kes baru Denggi bertambah tahun demi tahun daripada 15.2 per 100,000 pada 1973 kepada 361.0 per 100,000 populasi pada 2014. 56% daripada jumlah ini adalah kes yang dilaporkan di kawasan Lembah Klang.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 21 Disember 2015, bilangan ini terus menunjukkan peningkatan pada 2015 dengan jumlah 115,882 kes berbanding 100,661 kes pada 2014. Jumlah kematian Denggi juga meningkat sebanyak 64.2% daripada 190 kematian pada 2014 kepada 312 kematian pada 2015.

DPPM melahirkan rasa bimbang terhadap kes Denggi dan kematian akibat Denggi yang terus meningkat serta implikasinya yang  besar terhadap masyarakat dan negara.

Walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang lain, namun kes Denggi ini terus meningkat minggu demi minggu.

Selain usaha-usaha yang telah dijalankan, DPPM juga ingin mencadangkan dan mendesak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia agar memberi lebih perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

i. Memberikan lebih tumpuan pada kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti di tapak pembinaan, kilang, tanah kosong, kawasan rekreasi dan sekolah, selain kawasan-kawasan bandar yang sering berlaku wabak. Tindakan dan penguatkusaan undang-undang khususnya lokasi-lokasi ‘panas’ ini wajar dikenakan tindakan andai tidak mematuhi peraturan yang digariskan.

ii. Kekurangan pasukan dan petugas pengawalan menyebabkan langkah pengawalan pembiakan nyamuk Aedes tidak dapat dibuat dalam masa 5 hari daripada hari bermulanya kes Denggi seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Denggi Kebangsaan.

Menurut laporan, hanya 40% daripada kes-kes Denggi pasukan bertindak dihantar mengikut piawaian masa yang ditetapkan. Meskipun bajet 2016 tidak menampakkan peluang untuk penambahan sumber manusia di sektor kerajaan, namun langkah pengalihan tenaga boleh dan amat perlu dilakukan.

iii. Membuat integrasi kepelbagaian cara dalam langkah pengawalan adalah suatu kajian yang berterusan untuk mencari kaedah yang paling berkesan. Sehingga kini, pelbagai kaedah telah ditemui termasuk kaedah berasaskan racun, biologikal, genetik, mekanikal dan alam sekitar. Kaedah-kaedah ini mempunyai peratusan keberkesanan yang berbeza serta memerlukan kepakaran dan peruntukan yang berbeza. Namun keberkesanan yang maksimum hanya boleh dicapai dengan menggabungkan beberapa cara yang berbeza dalam satu-satu masa mengikut kesesuaian tempat sasaran. Kaedah serampang dua mata ini adalah kaedah pengawalan yang jauh lebih efektif.

Mengikut kajian Pengetahuan, Sikap dan Amalan (KAP) berkaitan tabiat rawatan awal oleh masyarakat yang banyak dijalankan di seluruh Malaysia, rakyat Malaysia mempunyai tahap pengetahuan yang sangat tinggi dalam aspek ini, namun menunjukkan amalan yang sangat mendukacitakan. Justeru, DPPM juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memainkan peranan masing-masing dalam menjaga alam sekitar terutamanya di kawasan perumahan sendiri. Kebersihan persekitaran adalah kaedah yang sangat penting dalam mengawal wabak Denggi.

DPPM memuji seluruh badan kerajaan dan bukan kerajaan yang telah memainkan peranan yang sangat banyak dalam usaha merawat dan mencegah Denggi ini. DPPM berharap tindakan agresif yang berterusan dapat dilaksanakan oleh semua pihak bagi menangani wabak ini.

DR. MOHD IBRAHIM
Pengarah, Jabatan Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar DPPMHARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace