TPPA bakal lenyapkan jelapang padi negara?

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Kedah dijangka antara paling terjejas kesan dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya ia ditandatangani terutamanya terhadap Jelapang Padi Negara yang berdepan kemampuan daya saing dengan kemasukan beras dari negara lain.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, secara khusus, para petani berdepan kemungkinan hilang pendapatan apabila beras gred lebih tinggi dari negara lain dijual pada harta setara dengan beras keluaran negara ini.

“Secara praktikal keperluan penduduk negara ini terhadap makanan ruji itu tentunya akan mengalih pilihan kepenggunaan mereka kepada tawaran lebih bernilai.

“Malah, tidak mustahil para pesawah akan ‘hilang pekerjaan’ apabila penanaman padi tidak lagi menjadi sumber pendapatan dan memungkinkan juga tanah sawah diubah kepada tujuan pembangunan.

“Sekali gus landskap Kedah selaku Jelapang Padi Negara juga bakal lenyap ditelan sejarah,” ujarnya meluah kebimbangan itu dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, nasib yang sama juga akan menimpa pesawah padi di seluruh negara terutama dalam jajaran estet padi sebagaimana terdapat di Selangor dan Perak.

Kebimbangan itu katanya, wajar berdasarkan kepada tindak-tanduk kerajaan dan agensi berkaitan yang sejak berdekad-dekad tidak begitu serius membantu sektor beras negara khususnya para pesawah dan penanaman padi.

“Ia masih ditakuk lama dan masalah-masalah yang berlegar tidak ditangani dengan baik. Isu baja dan anak benih, serangan penyakit, pengairan, jentera, subsidi dan harga padi seakan tidak pernah selesai.

“Lebih malang seakan dipandang enteng dan tidak dipedulikan apabila tanah sawah dilanda oleh keghairahan pembangunan yang mengubah statusnya,” kesal beliau.

Apatah lagi menurutnya, sikap yang seolah-olah menjadi dasar pihak kerajaan apabila lebih mengutamakan kepentingan kroni atau golongan korporat yang menjalankan urusniaga serta mengaut kekayaan dan keuntungan besar.

Maka ujar beliau, TPPA bagi mereka yang tamak tentunya dilihat sebagai peluang untuk menyertai pasaran lebih liberal.

Katanya, golongan peniaga seperti itulah atas kepentingan diri semata-mata mengejar hambatan besar tersebut hingga sanggup mengambil kesempatan di atas kesempitan golongan bawahan seperti para pesawah.

“Malaysia seharusnya mengakui realiti negara ini bahawa golongan berkepentingan perniagaan adalah pihak ‘peraih’ yang sering mengaut keuntungan dari penat lelah golongan bawahan. Dalam hakikat pesaingan sedemikian, Malaysia umpama kancil yang berhadapan gajah seperti Amerika.

“Dengan kemampuan teknologi dan sebagainya, pesawah di negara itu mampu mengeluarkan beras gred tinggi dalam jumlah yang banyak serta keupayaan memasarkan sendiri dengan bantuan kerajaannya.

“Berbeza dengan realiti Malaysia di mana pesawah hanya semata-mata mengusahakan penanaman dan tidak terlibat untuk masuk ke pasaran menjual hasil beras mereka,” terangnya.

Tambah beliau lagi, saranan mantan Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak supaya diwujudkan jaminan ‘keselamatan makanan’ dengan mengekal tanah sawah dan meningkatkan penanaman padi agar pengeluaran beras bertambah, harus dilihat serius oleh pihak kerajaan.

Betapa Almarhum katanya, telah menukilkan iktibar terhadap kepentingan kecukupan bekalan makanan ruji itu kerana terputus atau ketiadaannya boleh menyebabkan konflik, bahkan hingga mencetuskan peperangan.

“Jika lenyapnya tanah sawah dan terhentinya pengeluaran beras dari usaha negara ini, serta bergantung pula kepada beras import, kemungkinan berhadapan risiko terputus bekalan boleh berlaku dengan sikap kapitalis para peniaga di mana ia juga satu bentuk penjajahan di era masa kini.

“Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menggesa Kerajaan Malaysia atas kepentingan bangsa dan kedaulatan negara agar berani untuk tidak menandatangani TPPA.

“Kami juga menyeru para pesawah di seluruh negara hadir ke Himpunan Aman Membantah TPPA pada Sabtu, 23 Januari ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace