8A UPKK: Selangor teramai diikuti Kelantan, Terengganu

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Sebanyak 37,271 atau 20.07 peratus calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) di seluruh negara pada tahun lepas mencatat keputusan 8A.
    
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata kejayaan itu merupakan peningkatan sebanyak 4.78 peratus daripada 15.29 peratus yang dicatatkan tahun sebelumnya.
    
Beliau berkata keputusan UPKK 2015 juga menyaksikan semua negeri mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus tanpa D, sama seperti tahun sebelumnya.
    
"Selangor merekodkan pencapaian calon paling ramai mendapat 8A iaitu 5,152 orang, diikuti Kelantan dan Terengganu dengan masing-masing seramai 4,559 dan 4,148 calon," katanya pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.
    
Sebanyak 185,675 calon menduduki peperiksaan UPKK melibatkan lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam; Bidang Al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Pelajaran Jawi; Sirah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Bahasa Arab.
    
Othman berkata mata pelajaran Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 100 peratus, diikuti Bidang Al-Quran dengan 99.5 peratus lulus.
    
Ini menjadi penanda aras kepada kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian, katanya.
    
Beliau berkata mata pelajaran Jawi dan Khat mencatat kelulusan 92.27 peratus, diikuti Adab 90.74 peratus; Bahasa Arab (88.60 peratus); Ulum Syariah (82.92 peratus) dan Sirah (82.04 peratus).
    
Othman berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 1.70 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 1.76, menyaksikan Selangor muncul negeri terbaik dengan GPN 1.484 mata, diikuti Wilayah Persekutuan dan Melaka dengan GPN 1.488 dan 1.533 mata.
    
"Bagi memastikan kecemerlangan berterusan Jakim akan terus perkasakan kemahiran guru melalui latihan secara berterusan," katanya. - BERNAMA

Share on Myspace