Keganasan: Jangan kaitkan dengan Islam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Islam tidak menganjurkan sebarang bentuk keganasan apatah lagi untuk menaja perbuatan terkutuk seperti apa yang telah berlaku di Jakarta semalam yang ditolak oleh nilai kemanusiaan sejagat.

Bahkan Islam jelas sekali mengutamakan dan menekankan keamanan dan perdamaian sebagai kunci kesejahteraan sesama manusia.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, adalah tidak wajar sama sekali insiden-insiden keganasan ini dikaitkan dengan Islam khususnya dalam laporan berita sekalipun mungkin ia ada kaitan dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mempergunakan nama ‘Islam’.

"Dikhuatiri laporan sebegitu akan memberikan paradigama yang salah terhadap Islam khususnya dalam kalangan bukan Islam dan menjadikan kita sendiri terperangkap dengan permusuhan terhadap Islam yang sengaja ditaja oleh pihak-pihak tertentu," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya yang juga berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia dan semua agensi-agensi keselamatan yang lain dapat berganding bahu untuk memastikan semua aspek bagi menjamin keselamatan negara ini berada pada tahap yang terbaik.

Katanya, selain itu kerjasama keselamatan dengan negara-negara Asean juga mesti ditingkatkan khususnya dari segi aspek risikan bagi membolehkan sebarang maklumat berkenaan ancaman dan aktiviti keganasan dapat diokongsi secara pantas dan bersepadu agar tindakan berkesan dapat dilakukan untuk membendung insiden keganasan ini.

"Pihak PAS mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia khususnya kepada ahli keluarga semua mangsa yang maut dan tercedera dalam insiden pengeboman di Jakarta semalam. Semoga Allah membalas terhadap pelaku keganasan ini dengan hukuman yang setimpal," ujarnya.

Pagi semalam beberapa siri letupan bom kedengaran di Jakarta, Indonesia menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh termasuk tiga anggota polis, lapor AFP.

‎Menurut AFP, 3 mayat dilihat terbaring di jalan besar di ibu kota itu selepas letupan berlaku. Letupan berlaku berdekatan sebuah pusat membeli-belah, Sarinah. – HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace